Kes Sosilawati: Polis Berkampung Di Lokasi Sejak 2 Minggu Lalu

Diterbitkan: Ahad, 12 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LANGAT: Sudah dua minggu ramai polis dilihat di sekitar Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini bagi melakukan siasatan.

Keadaan itu disedari penduduk sekitar sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan andaian.

Bagaimanapun ia terungkai ekoran penemuan empat mayat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 bersama tiga individu lain.

Ketua MIC Cawangan Taman Gadong, M. Mohan, 53, berkata, beliau mendapat tahu berita tersebut apabila pihak polis mula mengawal pergerakan keluar masuk di simpang ke ladang terbabit pada Sabtu.

"Ketika itu saya mahu ke Kuil Sri Maryaman yang terletak di laluan masuk berkenaan. Saya dimaklumkan polis bahawa mereka sedang melakukan siasatan. Ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku di sini," katanya di sini pada Ahad.

Difahamkan, Ladang Gadong itu dimiliki seorang peguam bergelar datuk yang pernah dicari polis bagi membantu siasatan.

Ladang milik persendirian berkeluasan tiga ekar itu mempunyai ternakan ayam, lembu dan kambing.

Sementara itu, tinjauan mStar Online di rumah banglo Sosilawati pada 11:30 pagi, lebih 10 wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan kediaman mewah itu.

Pada 12 tengah hari, abang sepupunya, Elias berkata, abang dan adik Sosilawati telah ke Banting pada sebelah pagi.

Katanya, anak-anak Sosilawati berada di rumah dan masih tunggu pengesahan polis.

"Mereka okey setakat ini. Mereka masih tunggu apa-apa perkembangan daripada polis," katanya.

Ahli keluarga enggan menemui media.

Pada 12:30 tengah hari, Elias memaklumkan kepada pemberita bahawa mereka telah menerima panggilan polis.

Katanya, polis memberitahu besar kemungkinan mangsa ialah Sosilawati.

Ahli keluarga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu masih enggan bertemu media selepas pengumuman polis yang mengesahkan empat mayat itu adalah Sosilawati dan tiga yang lain.

Seorang ahli keluarga Sosilawati dilihat menangis di perkarangan rumah sambil ditenteramkan oleh dua yang lain.

Setengah jam selepas pengumuman polis itu, sanak-saudara mahupun kenalan Sosilawati dilihat datang ke rumah beliau.

Menurut pesanan ringkas yang diterima wartawan mStar Online, anak keempat Sosilawati, Rina dipetik sebagai berkata, "Kalau betul mak tak ada lagi, bawa dia tunjuk depan Rina. Abah cari mak abah," raung Rina sejurus ketika sidang akhbar mengenai kematian ibunya disiarkan di televisyen.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan