Najib-Susilo Setuju Kaji Mekanisme Sedia Ada Dalam Tingkatkan Hubungan Dua Hala

Diterbitkan: Jumaat, 10 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mengkaji semula mekanisme yang sedia ada dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata sepakat itu dicapai semasa Najib menghubungi Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono untuk menyampaikan salam Aidilfitri bagi pihak rakyat Malaysia kepada keluarga presiden itu serta semua warga Indonesia di negara itu.

Di tengah-tengah kesibukan melayan ribuan pengunjung pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Sri Perdana di sini hari ini, Najib mengambil kesempatan untuk menelefon Susilo dan berbual selama kira-kira 10 minit dengan pemimpin Indonesia itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata Malaysia akan meneruskan segala usaha dalam mengekalkan keakraban hubungan dengan negara jiran itu.

"Malaysia akan memastikan tidak ada apa-apa hubungan akan terjejas walaupun ada segelintir pihak mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia.

"Apa yang penting adalah kita tidak boleh membiarkan sesiapa sahaja menjejaskan hubungan kita yang begitu bererti sekali," tegas beliau.

Najib berkata kedua-dua pihak perlu berusaha untuk mengembalikan hubungan dua hala kepada asas yang kukuh serta mekanisme yang lebih baik perlu bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

Hubungan dua hala itu tegang berikutan kejadian demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi membantah insiden 13 Ogos di perairan perbatasan kedua-dua negara berhampiran Bintan, Kepulauan Riau.

Insiden itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.

Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut reaksi presiden Indonesia itu, Najib berkata kedua-dua mereka bersetuju tentang pentingnya mendidik rakyat kedua-dua negara supaya menjaga dan menghormati sentimen masing-masing.

Rakyat kedua-dua negara perlu melihat masa depan yang lebih bermakna kepada semua pihak, jelas Najib.

Menurut perdana menteri, kedua-dua pihak juga setuju untuk menggerakkan rundingan mengenai isu-isu perbatasan untuk menjernihkan hubungan yang sedia ada.

Najib berkata beliau memaklumkan kepada Susilo bahawa ramai warga Indonesia, yang tidak dapat pulang ke kampung halaman mereka, telah menghadiri majlis rumah terbukanya itu.

"Saya memberitahu SBY (Susilo) bahawa beberapa rakyat Indonesia meminta beliau untuk memastikan hubungan dua hala tidak harus terjejas," jelas Najib. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan