Kedudukan Daya Saing Malaysia Tidak Ada Impak Besar Terhadap Ekonomi

Diterbitkan: Jumaat, 10 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kedudukan daya saing global Malaysia yang menurun dua tangga, tidak ada kesan besar terhadap ekonomi negara dan sentimen pelabur-pelabur, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui sesetengah isu yang telah dinyatakan dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2010-2011 itu, dan akan berusaha sedaya mungkin untuk memperbaikinya.

"Jika ada keperluan untuk perubahan, kita mesti mengubahnya," kata beliau kepada Bernama di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Perubahan seperti itu, kata Mustapa akan menambah lebih banyak nilai kepada Pelan Transformasi Kerajaan, yang sedang dilaksanakan.

"Kita harap untuk melihat (banyak) pembaikan dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan sedang giat mengadakan pendekatan untuk transformasi," kata beliau.

Kedudukan Malaysia merosot dari tangga 24 ke tangga 26 dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2010-2011 yang dikeluarkan semalam, dengan pendidikan tinggi, latihan, institusi, kecekapan pasaran buruh antara kebimbangan dan kesediaan teknologi antara teras yang perlu diperbaiki.

Laporan itu juga menyatakan tidak semuanya buruk bagi Malaysia, kerana ia telah mendapat kedudukan baik dalam bidang-bidang penting seperti Indeks Hak Perundangan, bersama-sama dengan Hong Kong dan Singapura.

Negara ini juga mendapat kedudukan tinggi mengenai Kekuatan Melindungi Pelabur, menduduki tempat keempat selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong.

Antara negara-negara Asia-Pasifik, Malaysia menduduki tempat kelapan, mendahului China, Thailand, India, Indonesia dan Filipina, memperoleh kedudukan tertinggi dalam Indeks Hak Perundangan dan juga Kekuatan Melindungi Pelabur.

Mengenai Ringgit yang kini pada tahap tertinggi dalam masa 13 tahun iaitu pada paras RM3.11 bagi setiap US dollar, katanya: "Pengeksport tidak terjejas pada ketika ini kerana kita masih menikmati pertumbuhan yang baik."

Menteri itu menekankan kekukuhan Ringgit bukan suatu isu besar kerana eksport dan import negara mengembang, dan Malaysia terus menjadi destinasi yang menarik bagi pelabur kerana asas-asas yang baik.

Menyentuh syarikat peruncitan gergasi dari Perancis, Carrefour merancang menjual perniagaannya di Malaysia, Mustapa berkata ia adalah kitaran perniagaan biasa dan bukan sesuatu yang membimbangkan.

"Terdapat persaingan serius di sini dan banyak pasar raya yang berminat untuk datang dan menjadi penyumbang besar dalam peningkatan pelaburan. Oleh itu ia bukan masalah," tambah beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan