Hari Raya Aidilfitri Muram Tanpa Sosilawati

Diterbitkan: Jumaat, 10 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suasana sambutan Aidilfitri bagi keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang kebiasaannya meriah apabila berkumpul beramai-ramai, hari ini muram berikutan ketiadaan beliau.

Adiknya, Masturi, 44, berkata kebiasaannya setiap kali perayaan Aidilfitri mereka sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

"Hari raya tahun ni rasa lain tanpa dia (Sosilawati)...setiap tahun dia akan mengadakan majlis rumah terbuka di kampung.

"Di kediamannya di Gombak, dia akan adakan majlis rumah terbuka pada hari raya kedua atau ketiga," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini.

Masturi berkata mereka sekeluarga masih lagi menunggu perkembangan Sosilawati yang telah hilang bersama tiga lelaki sejak 30 Ogos lepas.

"Tiada langsung persiapan pada tahun ini dan kami hanya menanti perkembangan kes kehilangannya.

"Kami masih tidak menerima apa-apa sebarang panggilan ugutan daripada mana-mana individu...apa-apa pun kami serahkan kepada pihak polis untuk siasat dan mengesan dimana dia berada," katanya.

Sosilawati dan pembantu peribadi Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Isnin lepas, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan