Teruskan Amalan Sambut Perayaan Dalam Suasana Harmoni - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 9 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru agar sambutan perayaan di negara ini terus diadakan dalam suasana harmoni agar generasi masa depan dapat menghargai kepelbagaian agama dan budaya, sekaligus menyemai perasaan cintakan negara.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau turut mengingatkan bahawa kebahagiaan sambutan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan serta toleransi yang telah dibina sejak sekian lama.

"Dalam semangat muhibbah sempena Aidilfitri ini, marilah kita sama-sama memohon maaf, melupakan segala persengketaan dan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara masyarakat majmuk di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok.

Beliau berkata sambutan Aidilfitri, seperti juga Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Wesak dapat menyemai semangat bersatu-padu dan berharmoni di antara masyarakat berbilang kaum.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan serta pegawai dan kakitangan awam yang telah memberi sumbangan menjaga keamanan dan keselamatan negara, serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Beliau menyeru agar budaya kunjung-mengunjung yang merupakan budaya unik masyarakat Malaysia diteruskan untuk mengeratkan silaturrahim, serta menggalakkan suntikan semangat 1Malaysia dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Di KUCHING, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng meminta rakyat menghargai dan mempertahankan perpaduan yang telah wujud di kalangan masyarakat berbilang bangsa di Sarawak dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata perpaduan kaum adalah aset yang amat berharga, terutama sekali kepada generasi yang akan datang.

"Ambil peluang pada hari yang mulia ini untuk kita memperbaiki kesilapan serta memohon maaf serta ampun sesama kita agar hubungan serta ikatan persaudaraan sesama kita semakin kukuh, ibarat air yang dicincang tidak akan putus," katanya dalam perutusan Hari Raya.

Dalam meraikan sambutan Hari Raya, beliau berkata aktiviti generasi muda perlu diberi perhatian memandangkan masalah sosial yang semakin membimbangkan.

"Berikanlah didikan serta pelajaran yang terbaik dan berterusan kepada anak-anak kita," katanya sambil menambah bahawa cabaran yang bakal mereka hadapi pada masa akan datang adalah jauh lebih rumit dan mencabar.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula berkata beliau percaya Sarawak akan dapat mencapai pembangunan yang lebih cepat di atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada masalah rakyat di Sarawak.

Di KUALA KLAWANG, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu terus kukuh dan bersatu padu dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

"Kita ingin menyatakan ini dengan penuh kesedaran bahawa masa ini banyak perkara yang telah dikemukakan bagi mencabar kehidupan kita. Justeru, kita perlu kukuh dan kukuhan inilah yang kita pohon menerusi gagasan 1Malaysia iaitu memperkukuhkan masyarakat untuk terus bersatu padu," katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya kepada umat Islam di negara ini, Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berharap umat Islam dapat mempertingkatkan perpaduan di kalangan mereka bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dengan berakhirnya Ramadan, umat Islam perlu membuka lembaran baru bagi memperbaharui azam dan tekad selari dengan keperluan ukhuwah.

Beliau berharap amalan ziarah menziarahi melalui majlis rumah terbuka yang menjadi budaya rakyat Malaysia perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi mengukuhkan hubungan bukan sahaja di kalangan saudara mara bahkan rakan-rakan dan teman taulan dari berlainan bangsa dan agama.

"Apapun, seperkara yang harus disedari oleh kita sekelian ialah untuk mengamalkan kesederhanaan dalam apa jua kegiatan dan urusan, termasuk juga ketika merayakan hari besar ini," katanya.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mengucapkan Selamat Hari Raya sambil berharap perayaan ini sebagai peluang memperkukuh hubungan di antara pelbagai kaum di negara ini dan juga konsep 1Malaysia.

Katanya kunjungan rakyat bukan Islam ke majlis Rumah Terbuka yang menjadi budaya rakyat negara ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan baik sedia ada di kalangan rakyat berbilang kaum.

"Ia juga memberikan peluang kepada bukan Islam untuk memahami adat dan budaya rakan Islam mereka. Hari Raya juga merupakan saat bagi orang ramai melupakan perbezaan sesama mereka dan memperbaharui semangat bermasyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T.Murugiah pula berkata setiap rakyat negara ini bertanggungjawab memelihara keamanan dan kestabilan yang wujud dengan mengamalkan toleransi yang melebihi emosi.

"Sebarang perbezaan pendapat dapat diselesaikan dengan cara musyawarah dan budi bicara. Tidak perlu kita memperbesar-besar sesuatu isu yang timbul yang sememangnya akan mengeruhkan sesuatu keadaan," katanya dalam satu kenyataan.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pula meminta semua pihak supaya memberi pandangan berhubung usaha untuk merapatkan hubungan sesama kaum daripada memikirkan apa jua bentuk perbezaan.

"Oleh kerana kita masih lagi berada dalam sambutan bulan kemerdekaan maka jadikan semangat Merdeka sebagai pemangkin untuk membina sebuah Malaysia yang maju," katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula meminta umat Islam sentiasa bersyukur dengan nikmat dan rahmat Allah SWT berbanding negara yang sedang berperang, dilanda banjir, gempa bumi dan musibah lain.

"Umat Islam tidak boleh berpecah atau berpuak-puak kerana kelemahan itu akan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menguasai orang Islam," katanya.

Beliau berkata benteng terbaik umat Islam hari ini ialah sentiasa memperkukuhkan perpaduan, toleransi, menguasai ilmu dan mengekalkan keamanan yang menjadi tuntutan Islam dan agama-agama lain.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata Hari Raya merupakan saat bagi setiap rakyat negara ini supaya bersama-sama meraikannya dengan rakan dan jiran mereka yang beragama Islam.

Beliau berkata dengan cara duduk bersama berkongsi makanan di meja yang sama sambil bergelak ketawa, ia jelas menunjukkan manifestasi mengenai apa itu 1Malaysia dan suasana itu perlu dihidupkan semasa perayaan.

"Kita sepatutnya menjadikannya satu budaya pada setiap masa dan bukan sahaja semasa perayaan. Jika kita boleh menjalin hubungan seumpama itu pada masa ini, tiada apa yang boleh menghalang kita daripada meneruskan dengan falsafah dan pemahaman seperti itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata perpaduan di kalangan orang ramai dapat diperkukuhkan sebagai sebuah keluarga yang dicemburui oleh banyak negara lain. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan