Malaysia Jatuh Ke Tempat Ke-26 Dalam Laporan Daya Saing Global

Diterbitkan: Khamis, 9 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia merosot dua anak tangga ke tempat ke 26 daripada anak tangga ke-24 sebelum ini dalam Laporan Daya Saing 2010-2011 Forum Ekonomi Dunia yang dikeluarkan hari ini.

Penarafan negara telah berada pada trend menyusut untuk tiga tahun berturut-turut daripada kedudukan ke-21 pada 2008/09, kata laporan itu sambil berkata bidang latihan dan kesediaan teknologi antara teras yang harus dipertingkatkan.

Dalam indeks daya saing keseluruhan, bagaimanapun, negara berada pada kedudukan yang hampir sama iaitu 4.88 daripada tujuh berbanding 4.87 yang dicapai pada 2009.

"Di kalangan negara-negara Asia-Pasifik, Malaysia berada pada tempat ke-8, mendahului China, Thailand, India, Indonesia dan Filipina," kata satu kenyataan daripada Kemterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini hari ini.

Malaysia mencapai kedudukan tertinggi pada Indeks Hak Perundangan, bersama-sama Hong Kong dan Singapura.

Negara itu juga mencapai kedudukan tertinggi pada kekuatan melindungi pelabur, tempat ke-4 selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong.

Sepuluh negara teratas dalam laporan itu adalah Switzerland, Sweden, Singapura, AS, Jerman, Jepun, Finland, Belanda, Denmark dan Kanada.

Arab Saudi dan Israel, masing-masing berada pada tempat ke 21 dan 24, telah mendahului Malaysia.

Laporan itu meliputi 139 negara, yang mana enam, iaitu Angola, Cape Verde, Rwanda, Swaziland, Iran dan Lubnan adalah negara-negara baru.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sementara kementerian itu mengakui terdapat banyak bidang yang perlu diberi perhatian, ia gembira melihat laporan itu menggariskan beberapa elemen positif terhadap ekonomi Malaysia.

Mustapa berkata Malaysia juga dinilai mempunyai pembangunan pasaran kewangan yang maju dengan kemudahan pembiayaan menerusi ekuiti tempatan, mendapat tempat ke-11 daripada ke-15 sebelum ini, dan kemudahan mendapatkan pinjaman pada tempat ke-10.

"Kesediaan modal teroka, kekukuhan bank, peraturan bursa saham dan ketelusan peraturan dalam pertukaran sekuriti turut menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata pencapaian Malaysia juga memuaskan dalam kategori yang lebih kompleks seperti kecanggihan perniagaan (ke-25) dan inovasi (ke-24).

Mengenai kebimbangan yang ditimbulkan oleh laporan itu, beliau berkata kerajaan telah pun melancarkan inisiatif kebangsaan untuk menanganinya.

"Antara langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan daya saing Malaysia adalah Model Baru Ekonomi, yang menekankan pencapaian pendapatan tinggi, Program Transformasi Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan kerajaan dan perlaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

"Apabila inisiatif ini mula menampakkan hasil, kita menjangka dapat melihat peningkatan daya saing Malaysia secara menyeluruh dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan