Tee Langgar Etika Keluar Surat Sokongan, Kata Khalid

Diterbitkan: Rabu, 8 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan audit Jabatan Audit Selangor mendapati Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dipecat Tee Boon Hock telah melanggar etika semasa mengeluarkan surat sokongan.

Laporan audit ke atas penggunaan surat sokongan di MPK mendapati Tee melanggar etika kerana ketika mengeluarkan surat sokongan itu beliau gagal mengisytiharkan salah satu syarikat yang disokongnya itu adalah milik anaknya sendiri, katanya dalam satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

"Adalah amat jelas terdapat konflik kepentingan dan beliau sepatutnya membuat deklarasi untuk mengelak pelanggaran etika tatacara memberi sokongan untuk mendapatkan kontrak," katanya.

Apabila seseorang Ahli Majlis menulis surat sokongan, beliau perlu mengisytiharkan jika pihak yang terlibat adalah pihak daripada keluarga yang terdekat, iaitu isteri, anak-anak ataupun adik-beradik.

Ditanya mengapa tindakan yang dikenakan ke atas Tee agak keras, Abdul Khalid berkata: "Isu pengisytiharan ini bukan isu surat sokongan. Ia sebenarnya perkara prinsip, itu yang penting bagi kami."

Selain menyemak dakwaan salah guna kepala surat dalam pengeluaran surat sokongan yang melibatkan Ahli Majlis di MPK, laporan itu bertujuan untuk menilai sejauh mana penggunaan surat sokongan di MPK memberi kesan terhadap pengurusan perolehan MPK, katanya.

Abdul Khalid berkata beliau telah menggunakan budi bicara beliau sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mengklasifikasikan semula laporan audit itu agar boleh diedar kepada orang ramai.

Beliau berkata secara keseluruhannya semakan audit mendapati surat sokongan tidak menjadi asas kepada pertimbangan dalam pemilihan kontraktor syarikat bagi menjalankan kerja yang dikeluarkan MPK.

Semakan audit terhadap 54 fail sebutharga dan tender di Jabatan Taman dan Rekreasi serta 45 fail sebutharga di Jabatan Kejuruteraan MPK mendapati pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan prosedur sebut harga dan tender yang ditetapkan, katanya.

"Walaupun terdapat 50 kontraktor yang dipilih bagi kerja-kerja Jabatan Taman dan Rekreasi disertakan surat sokongan semakan audit mendapati pemilihan dibuat berasaskan kriteria dan kelayakan kontraktor," katanya.

Jabatan Audit turut membuat beberapa cadangan kepada MPK antaranya sentiasa mematuhi garis panduan tindakan ke atas sokongan yang diterima daripada pemimpin kerajaan negeri, individu berpengaruh atau mana-mana orang mengenai sesuatu urusan kerajaan seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, katanya.

Beliau berkata para Exco, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Ahli Majlis hendaklah mengelak daripada mempengaruhi atau memberi tekanan kepada pengurusan MPK bagi membolehkan keputusan dibuat secara telus.

Laporan audit itu juga mencadangkan supaya Ahli Majlis tidak dilantik sebagai Ahli Lembaga Perolehan Pihak Berkuasa Tempatan, katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar, kerajaan negeri berkata pihak audit tidak dapat mengesahkan berlaku pemalsuan tandatangan pada surat sokongan yang menggunakan kepala surat Exco Kerajaan Negeri tetapi terdapat penggunaan surat yang ditandatangani "bagi pihak" Exco Selangor Ronnie Liu.

Empat belas syarikat yang disokong oleh Liu dan Tee Boon Hock telah mendapat kontrak kerja MPK bermula 2008 hingga 2010, manakala tiga syarikat yang disokong Tee pula mempunyai alamat berdaftar yang sama.

Terdapat 16 surat sokongan telah dikeluarkan oleh Liu dan tujuh kontrak kerja bernilai lebih RM700,000 telah diperoleh oleh syarikat yang disokong beliau sepanjang 2008 hingga tarikh semakan, katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan