Sosilawati Beli Kerepek, Kuih Untuk Kakitangan Syarikat

Diterbitkan: Selasa, 7 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LANGAT: Hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dilihat membeli kerepek dan kuih di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting di sini untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma sebelum dilaporkan hilang sejak seminggu lepas.

Menurut seorang pekerja di kedai kerepek berkenaan, Kerepek House Fazz Enterprise kira-kira dua kilometer dari pekan Banting, Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu Khamis lepas.

Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ina itu berkata Sosilawati datang kira-kira pukul 2 petang sebelum membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond london.

"Dari perbualan saya dengan Datuk (Sosilawati) ada beritahu kuih itu untuk kakitangannya, saya berbual kerana sebagai pekerja saya melayan Datuk selaku pelanggan.

"Lebih-lebih lagi saya pengguna produk kecantikan yang diasaskan Datuk iaitu Nouvelle Visages," katanya yang menambah Sosilawati memakai baju warna merah jambu dan seluar jenis legging hitam ketika datang ke kedai itu.

Ina berkata dalam perbualan itu, Sosilawati hanya memaklumkan beliau ada urusan perniagaan di pekan Banting.

Katanya Sosilawati dan lelaki yang dipercayai peguamnya itu beredar dari kedai berkenaan dua jam kemudian.

Ahad lepas, Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak.

Difahamkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya yang beliau mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun selepas tiga hari, beliau tidak pulang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

Semalam, dua buah kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan seorang peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

Kereta terbabit iaitu BMW X5, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya manakala BMW 5 siri dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan sebuah rumah teres berdekatan sebuah hotel di Subang Jaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan