Pengguna Jalan Raya Dinasihati Rancang Perjalanan Semasa Aidilfitri

Diterbitkan: Selasa, 7 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua wargakota dinasihati supaya merancang perjalanan mereka mengikut cadangan perjalanan yang dikemukakan pihak berkuasa semasa sambutan Aidilfitri ini agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata apabila keadaan lalu lintas sesak, sudah pasti ada di kalangan pengguna jalan raya yang bersikap tidak sabar dan akan memandu secara berbahaya serta tidak bertimbang rasa.

"Selain merancang perjalanan untuk pulang ke kampung, saya ingin menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mengikut had kelajuan yang ditetapkan, memeriksa dan memastikan keadaan kenderaan berada dalam keadaan baik kerana jumlah kenderaan yang keluar dari ibu negara dalam musim perayaan Hari Raya ini adalah tinggi, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Kempen Keselamatan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol PLUS Expressways Berhad (Plus), Sungai Besi di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor Ketua Pengarah MKJR Datuk Suret Singh dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Nadzri Osman.

Sementara itu, Suret Singh berkata sikap pengguna jalan raya menampakkan perubahan positif ketika ini apabila jumlah kemalangan akibat memandu berbahaya semakin berkurangan ekoran kempen keselamatan jalan raya yang agresif yang laksanakan media. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan