JMM Serah Bukti Kaitkan Portal Berita Dengan Bendera Kepada Polis

Diterbitkan: Selasa, 7 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan portal berita 'The Malaysian Insider' dengan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Indonesia.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah, berkata bukti berbentuk dua dokumen sulit serta satu dokumen bergambar diserahkan kepada polis di Balai Polis Travers di sini, Selasa.

"Kami harap bukti itu dapat membantu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu," kata pemimpin badan bukan kerajaan itu kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap portal berita itu pada pukul 2.40 petang tadi.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada Sabtu lepas, berkata siasatan hanya akan dijalankan sekiranya terdapat bukti dan laporan polis. Jadi, kami sudah lakukan itu (laporan dan bukti), sekarang terpulang kepada polis untuk siasat," katanya.

JMM juga mendakwa 'The Malaysian Insider' mempunyai hubungan dengan tiga pemimpin Batak Kristian Bendera yang terlibat dengan demonstrasi di Indonesia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan