Muhyiddin Minta Syarikat Korporat Terus Beri Sumbangan

Diterbitkan: Isnin, 6 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan syarikat-syarikat korporat meneruskan sumbangan dan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dalam negara, dan tidak hanya tertumpu kepada musim-musim perayaan sahaja.

Beliau berkata dasar kerajaan menetapkan untuk membantu golongan itu bukan hanya kepada hal kebajikan sahaja tetapi juga untuk matlamat jangka panjang agar mereka boleh keluar dari kitaran kemiskinan.

"Azam dan tekad kerajaan adalah untuk melihat masalah golongan yang dikatakan miskin tegar dapat di atasi dengan membantu mereka keluar daripada keluk kitaran kemiskinan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Yayasan Al-Bukhary di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah di sini, Ahad.

Muhyiddin berkata kerajaan sememangnya memberikan pertolongan kepada golongan miskin dan kurang upaya menerusi program dan institusi yang dibangunkan selama ini tetapi ia tidak memadai kerana bilangan mereka yang ramai.

"Kita percaya dengan usaha yang dibuat oleh Yayasan Al-Bukhary serta masyarakat korporat lain dengan menubuhkan tabung-tabung yang boleh digunakan, bukan sahaja untuk membantu memberikan sumbangan untuk meringankan beban mereka dalam satu ketika saja, tapi kalau boleh dapat membantu hingga mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan kepada 300 warga ibu kota dari kalangan ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan