Kementerian Pertanian Akan Teruskan Projek Pengairan Di Barat Laut Selangor

Diterbitkan: Ahad, 5 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SABAK BERNAM: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan tetap meneruskan projek menaik taraf terusan pengairan dan kolam takungan air di kawasan Barat Laut Selangor yang merupakan kawasan jelapang padi negeri ini, kata Menterinya Datuk Seri Noh Omar.

Katanya kementerian tidak dapat menunggu sehingga mendapat permit daripada kerajaan negeri bagi meneruskan projek itu kerana ia perlu dilaksanakan sebelum Oktober ini, jika tidak peruntukan bagi projek itu yang dipohon sejak tahun 2005 terpaksa dipulangkan kembali kepada perbendaharaan.

Projek terusan itu telah 85 peratus siap dan dijangka selesai bulan depan manakala projek kolam takungan itu yang lima peratus siap dijangka dapat digunakan menjelang 2012, katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Peladang Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di tapak projek kolam takungan itu di Parit 4, Sungai Dorani di sini Ahad.

Projek menaik taraf terusan pengairan yang melalui Hutan Simpan Raja Musa itu yang bernilai RM5.42 juta dan pembinaan kolam takungan air seluas 90 hektar di Hutan Simpan Sungai Karang bernilai RM25.75 juta tergendala sejak 27 Julai lepas selepas Jabatan Hutan Negeri Selangor menyita 15 jentera pengorek kerana melakukan kerja-kerja di kawasan hutan simpan tanpa permit.

Noh berkata kontraktor terbabit terpaksa membayar RM150,000 bagi mendapatkan kembali jentera pengorek yang disita itu.

Selain itu, katanya kementerian juga dikehendaki membayar denda sebanyak RM650,000 kerana kontaktor yang melaksanakan projek itu dikatakan telah menebang pokok seluas 130 hektar di kawasan Hutan Simpan Raja Musa dan Hutan Simpan Sungai Karang.

Bagaimanapun, Noh berkata: "Dia (kerajaan negeri) suruh bayar saman, kita tak kan bayar, biar dia saman".

Noh mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwanya hendak mempolitikkan pelaksanaan projek ini, sedangkan hutan itu ditebang bagi pelaksanaan projek itu bukannya untuk kepentingan beliau, individu tertentu atau syarikat.

Sepatutnya kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat dengan menyediakan tapak sepertimana di bawah pemerintahan Barisan Nasional dahulu, bukannya mengenakan pelbagai bayaran ke atas kementerian, katanya.

Sebagai contoh, katanya kadar sewa penggunaan tanah hutan simpan yang dikenakan dengan kadar RM800 sehektar setahun untuk kedua-dua projek itu boleh dikenakan bayaran sekali sahaja bukannya setiap tahun.

Beliau berkata kolam takungan itu kelak mampu menampung 1.5 juta meter padu air dan akan memastikan bekalan air yang mencukupi di tiga kawasan Parlimen iaitu Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam terutamanya 918 pesawah di Panchang Bedana dan Bagan Terap yang sering mengalami masalah kekurangan air.

Projek terusan itu juga penting bagi memastikan air daripada hutan tanah gambut berhampiran yang berasid tidak melimpah masuk ke dalam sawah padi, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan