Isu Dua Hala Agenda Utama Lawatan Menteri Luar Indonesia Ke Malaysia - Berita Semasa | mStar

Isu Dua Hala Agenda Utama Lawatan Menteri Luar Indonesia Ke Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 5 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Dr R.M Marty M. Natalegawa akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Isnin dengan agenda utama untuk membincangkan isu-isu dua hala termasuk perkara berbangkit ekoran insiden penahanan tujuh nelayan Malaysia dan tiga pegawai Perikanan Indonesia pada 13 Ogos lepas.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Natalegawa dan delegasinya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pagi Isnin sebelum dijadual mengadakan mesyuarat empat mata dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan isu berkenaan serta isu-isu dua hala lainnya.

Ini diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Republik Indonesia sebelum kedua-dua Menteri Luar itu mengadakan sidang akhbar bersama pada kira-kira pukul 3 petang Isnin.

Pada sebelah malamnya, Natalegawa dan anggota delegasinya akan diraikan di dalam satu majlis berbuka puasa dan makan malam yang dihoskan oleh Anifah.

Menurut kenyataan itu lagi, lawatan tersebut juga akan mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

Natalegawa dan delegasi dijadual berlepas pulang dari Kota Kinabalu ke Indonesia hari berikutnya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan