Feri Pangkor Tambah Jadual Perjalanan Sempena Aidilfitri

Diterbitkan: Ahad, 5 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Syarikat pengendali perkhidfmatan feri Lumut-Pangkor, Konsortium Mesra Feri Sdn Bhd (Mesra Feri) akan menambah jadual perjalanan daripada 23 kepada 30 kali sehari mulai Isnin sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan Mesra Feri Mohd Nasir Mohd Rashid berkata penambahan bilangan perjalanan itu dibuat bagi memastikan semua penduduk di perantauan dapat pulang beraya di Pulau Pangkor.

"Kami menjangkakan seramai 10,000 orang akan menggunakan perkhidmatan feri Lumut-Pangkor sepanjang musim perayaan ini.

Sehubungan itu, syarikat bersedia menambah jadual perjalanan feri bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka bertambah.

"Sebanyak 13 feri akan beroperasi mulai 6.30 pagi hingga 8.30 malam dan perkhidmatan akan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam jika Jabatan Laut memberi kebenaran," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya di sini, Ahad.

Sebanyak 250 Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim dan warga emas dalam kawasan Parlimen Lumut menerima sumbangan berupa duit raya dan barangan keperluan harian.

Nasir berkata pihak syarikat turut mengenal pasti beberapa kakitangan yang terlatih untuk memandu feri pada sebelah malam bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

"Walaupun jumlah trip perjalanan feri akan ditambah, aspek keselamatan tetap diutamakan lebih-lebih lagi ketika berlayar pada waktu malam," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan