Malaysia Rugi RM9 Bilion Akibat Kemalangan Jalan Raya 2009 - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 4 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kerugian bernilai RM9 bilion dari segi sosio ekonomi akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, menurut statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kerugian itu berdasarkan kehilangan nyawa dan kecederaan yang dialami oleh pengguna jalan raya.

"Jumlah itu tidak termasuk kesedihan dan trauma yang dialami ahli keluarga mangsa kemalangan jalan raya," katanya semasa melancarkan Operasi Bersepadu Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2010 di Stesen Sentral Kuala Lumpur, di sini, Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Jelain Anak Mersat, Ketua Setiausaaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Muhyiddin berkata, berdasarkan angka kematian tahun lepas, daripada keseluruhan 6,745 kematian untuk semua kategori pengguna, 60 peratus daripadanya adalah kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Justeru itu, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga tiga 'K', iaitu 'Kelajuan, Kesabaran dan Kecergasan' apabila memandu di jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

"Memandu terlalu laju boleh menyebabkan hilang kawalan dan seterusnya membahayakan nyawa bukan sahaja penumpang, tetapi turut melibatkan kenderaan lain yang mungkin menjadi mangsa akibat daripada kesalahan kita. Ingat kelajuan di jalan raya boleh membawa maut," katanya.

Beliau juga mengingatkan pemandu kenderaan agar mempunyai sifat sabar apabila memandu terutamanya di musim perayaan di mana jumlah kenderaan lebih banyak di jalan raya.

"Bersabarlah apabila hendak memotong kenderaan dan memotonglah hanya apabila keadaan betul-betul selamat. Janganlah sesekali memotong di kawasan yang dilarang atau memotong secara berbahaya kerana ianya boleh menyebabkan kemalangan langgar depan yang serius," katanya.

Muhyiddin juga menasihatkan pemandu agar sentiasa memastikan mereka dalam keadaan cergas dan berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

"Kalau kita dapat ikut semua 'K' ini barulah akan dapat 'K' keempat iaitu dapat makan 'ketupat'," katanya berseloroh.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang remeh mengenai penggunaan tempat duduk bagi kanak-kanak yang menaiki kenderaan, dan juga mengingatkan penunggang dan pembonceng motosikal agar memakai topi keledar dengan cara yang betul bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan