Kelab Putera 1Malaysia Sasar Bantu 5,000 Keluarga Mangsa Banjir Peshawar

Diterbitkan: Sabtu, 4 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PESHAWAR: Kelab Putera 1Malaysia mensasarkan seramai 5,000 buah keluarga mangsa banjir di Peshawar, Pakistan dapat dibantu menerusi misi kemanusiaan kelab itu, kata Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata sasaran itu dapat dicapai apabila misi kemanusiaan itu dilanjutkan selama 12 hari lagi bermula Jumaat dan dijangka berakhir pada 14 September depan.

Seramai 68 orang anggota misi kemanusiaan kelab itu dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan bertumpu di Karachi dan satu lagi di Peshawar, dalam memastikan bantuan kemanusiaan itu dapat diagihkan kepada mereka yang terlibat, katanya.

"Kita akan cuba sedaya-upaya agihkan bantuan yang kita bawa ke sini yang sudah melebihi 200 tan iaitu air mineral (150 tan), makanan (50 tan) dan perubatan (20 tan).

"Kita juga akan membeli di sini barang-barang (lain) keperluan yang mengikut kehendak mereka," katanya kepada pemberita setibanya di sini Jumaat malam.

Rombongan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, yang turut mendapat kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan (PRCS) tiba di Karachi pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (8.40 malam waktu Malaysia), dan tiba di Peshawar kira-kira 7.40 malam waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Ahmad Anwar Adnan turut menyambut ketibaan rombongan sukarelawan dari Malaysia di Peshawar.

Abdul Azeez berkata kumpulan di Karachi terdiri daripada 33 orang sukarelawan termasuk 15 doktor, manakala di Peshawar seramai 35 orang sukarelawan termasuk wakil media daripada pelbagai organisasi.

Beliau berkata misi kali ini juga memberi penekanan kepada dua pendekatan dalam mengagihkan bantuan, satu menumpukan kepada pusat pemindahan untuk memberi bantuan khususnya perubatan kepada kanak-kanak, terutama yang menghidap malaria, taun, penyakit kulit, mata dan sebagainya.

"Rancangan kedua kita ialah pergi rumah ke rumah (untuk salur bantuan). (Difahamkan) banjir telah mula surut dan mereka boleh pulang ke rumah jika tidak rosak.

"Satu juta rumah telah dihanyutkan oleh banjir, dan 20 juta orang rakyat Pakistan sedang merana kerana tiada tempat tinggal. Maka kita akan pergi membantu mereka dengan pergi dari rumah ke rumah," katanya.

Kesemua bantuan kepada mangsa banjir di Pakistan dianggarkan berjumlah kira-kira RM3 juta, katanya.

Sementara itu, Ahmad Anwar berkata Pakistan juga telah menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang dihantar menerusi dua pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 19 Ogos lepas.

"Ia telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan iaitu National Disaster Management Authority. Mereka mengambil alih tugas untuk mengedarkan barangan tersebut di tempat-tempat yang memerlukan," katanya.

Menurut Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), banjir yang berlaku lebih dari sebulan itu mengorbankan lebih 1,700 nyawa dan kesan bencana banjir besar itu turut menjejaskan kira-kira 18 juta penduduk manakala lapan juta lagi memerlukan sumbangan untuk hidup. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan