Aktiviti Rapatkan Hubungan Malaysia-Indonesia Perlu Ditingkatkan

Diterbitkan: Sabtu, 4 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Aktiviti merapatkan hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia perlu diperbanyak bagi meningkatkan persefahaman di antara rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media kedua-dua negara, terutama dalam membetulkan salah tanggapan.

Setiausaha Agung Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) Tan Sri Annuar Musa berkata sebagai langkah pertama, pihaknya akan menganjurkan majlis makan malam amal Primadona Nusantara pada 26 Sept ini sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, yang bertujuan mengumpul dana untuk aktiviti berkenaan.

Beliau berkata majlis itu merupakan usahasama dengan NGO Indonesia, Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia (Prima), yang ditubuhkan bersama-sama Permai dan anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK).

Antara yang dijangka hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin Indonesia, termasuk Gabenor Riau.

"Jadi, walaupun suasana nampak negatif di Indonesia, tetapi negara kita menganjurkan program ini...kita ingin menunjukkan bahawa kita tidak emosi, kita tak jalankan aktiviti untuk nak memberontak, kita terus mengambil pendekatan yang lebih madani sifatnya," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Selain itu, Permai akan mengadakan lebih banyak pertemuan dengan pemimpin NGO, pihak media dan mereka yang berpengaruh serta berperanan terhadap pendapat umum.

Annuar berkata pihaknya juga bercadang mewujudkan urusetia di kedua-dua negara bagi menyalurkan bantuan serta memberi kaunseling kepada rakyat Malaysia yang menetap di Indonesia dan sebaliknya.

"Menerusi urusetia itu, pihak Indonesia membantu warga Malaysia yang bermasalah di negara itu, dan di Malaysia, warga Indonesia yang ada masalah, dibantu urusetia di Malaysia, terutama mereka yang mempunyai masalah dengan pihak kerajaan," katanya.

Beliau turut menghantar surat kepada bekas timbalan presiden Indonesia Try Sutrisno yang juga Presiden Prima, dan meminta supaya pihak tersebut dapat memainkan peranan secara langsung berkaitan ketegangan yang berlaku di Indonesia pada masa ini.

"Apa yang berlaku di sana sekarang ini, dilakukan oleh satu kelompok yang kecil...kita tidak boleh membalas dengan cara yang boleh memburukkan keadaan, tetapi mesti bersikap lebih positif dan tidak boleh terburu-buru dalam membuat tindakan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai majlis makan malam itu, orang ramai boleh menghubungi 03-92873754 dan semua sumbangan atau tempahan meja hendaklah dibuat atas nama YKK.-BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan