Kerajaan Jamin Keselamatan Rakyat Indonesia - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 2 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kerajaan Malaysia memberi jaminan keselamatan penuh kepada semua warga Indonesia yang berada di negara ini atau mereka yang berhasrat berkunjung ke sini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai tindakan keganasan terhadap rakyat Indonesia di negara ini berikutan gerakan sentimen anti-Malaysia di negara itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kaunter Jabatan Imigresen di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) di sini, Khamis.

Pada majlis tersebut, Hishammuddin turut menyampaikan bantuan kuih raya kepada Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang, depoh tahanan sementara KLIA, Lenggeng dan Machap Umbu.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.

Segelintir kumpulan di Indonesia menganjurkan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini bagi membantah insiden di sempadan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.

Dalam insiden itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing dengan alasan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan