80 Peratus Anggota Bomba Bertugas Semasa Raya

Diterbitkan: Khamis, 2 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lapan puluh peratus atau 9,920 orang daripada keseluruhan 12,400 anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bertugas sepanjang Ops Raya 2010 bermula esok hingga 18 Sept bagi mengawasi insiden melibatkan kebakaran dan kemalangan di seluruh negara. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata hanya 20 peratus anggota yang akan bercuti semasa perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Kesemua anggota bomba ini kena 'standby' pada musim raya untuk menangani kejadian yang tidak diingini dengan cepat, pantas dan berkesan," katanya selepas merasmikan Majlis 'Ops Raya' 2010 di Plaza Tol Sungai Besi di sini Khamis.

Katanya empat pesawat udara JBPM akan digunakan semasa rondaan pada waktu siang.

Sebanyak 254 balai bomba akan terlibat dalam Ops Raya tahun ini untuk membuat rondaan di Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran dan kesemua jalan yang menjadi tumpuan orang ramai, katanya.

Katanya pemeriksaan akan dilakukan di kesemua tempat tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah, pasaraya dan hiburan awam di mana kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati menyimpan barangan berbahaya pada musim perayaan.

JBPM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Sikap ke-22 yang juga bermula esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan