Samy Yakin MIC Lebih Kukuh Dengan Pelapis Berwibawa - Berita Semasa | mStar

Samy Yakin MIC Lebih Kukuh Dengan Pelapis Berwibawa

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu yakin MIC akan menjadi lebih kukuh selepas beliau melepaskan jawatannya kerana parti itu kini mempunyai pemimpin pelapis yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan.

Katanya MIC kini mempunyai seorang menteri dan empat timbalan menteri, bermakna pemimpin muda ini akan diketengahkan dan akan membuat perkara yang lebih baik daripada apa yang telah beliau lakukan.

"Adalah menjadi harapan saya untuk melihat pemimpin muda ini bekerja keras ke arah mencapai matlamat dan hala tuju parti," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Kolej TAFE Seremban, Air-Tech Bildung (ATB) dari Jerman dan Dnest Aviation Services Sdn Bhd, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris (NST) hari ini mengenai spekulasi bahawa beliau akan melepaskan jawatan presiden MIC selepas Disember, lebih awal daripada yang dijangka.

Sebelum ini, Samy Vellu dilaporkan sebagai berkata timbalannya Datuk G.Palanivel akan mengambil alih kepimpinan parti apabila beliau berundur "sebelum atau selepas September 2011".

Mengulas mengenai laporan akhbar itu, beliau menganggap ia adalah laporan imaginasi wartawan itu sendiri.

"Saya ucapkan tahniah kepada wartawan terbabit atas imaginasi beliau itu. Saya tak menafikan saya akan melepaskan jawatan presiden MIC tapi bukan mengikut tarikh yang dinyatakan oleh wartawan itu. Tarikh itu hanya saya yang tahu dan saya akan umumkan.

"Saya tetap akan melepaskan jawatan dan ini adalah masa buat saya untuk berbincang dengan bahagian dan cawangan, bagaimana untuk meletakkan kestabilan dalam parti agar parti lebih kukuh dan padu.

"Saya mempunyai rancangan saya sendiri dan saya telah pun nyatakan sebelum ini bahawa ini adalah penggal terakhir saya dan selepas itu saya akan memberikan tarikh di mana setengah orang tidak suka. Masalahnya mereka ini mahu saya lepaskan jawatan segera," katanya.

Sementara itu, katanya beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai mempertingkatkan pengambilan masyarakat India yang berkelayakan ke dalam sektor awam. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan