Polis Mengesahkan Letupan Berpunca Dari Belerang Mercun

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MARANG: Polis mengesahkan kejadian letupan yang berlaku sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak enam tahun dan dua pemuda mengalami cedera parah pada 29 Ogos lepas, berpunca daripada belerang mercun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, siasatan Unit Forensik polis Bukit Aman mengesahkan bahawa letupan yang kuat itu berpunca daripada belerang mercun.

"Cuma kita belum pasti bagaimana ia boleh meletup dengan kadar yang kuat atau adakah ia diubah suai, itu kita belum pasti.

"Ini disebabkan kedua-dua mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kita belum ambil kenyataan daripada mereka," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada polis kontinjen Terengganu oleh Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini malam Selasa.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif KIST Zaidi Yusof.

Dalam kejadian Ahad lepas di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga Kuala Terengganu, seorang kanak-kanak Khairul Arif Ayub, 6, terbunuh manakala dua pemuda Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah.

Mohd Shukri berkata, bapa kepada Khairul Arif merupakan suspek utama kejadian itu. Bagaimanapun dia telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh tahanan reman tiga hari terhadapnya berakhir.

"Polis perlu lengkapkan kertas siasatan dulu dengan mengambil kenyataan daripada dua pemuda yang turut cedera dalam kejadian itu sebelum dakwaan terhadap suspek dibuat. Kita jangka ia boleh diselesaikan sebelum hari raya ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sehingga kini polis telah menahan 34 orang penjual mercun di seluruh Terengganu kerana menjual mercun tanpa permit dan menjual mercun yang tidak dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, kegiatan menjual mercun di negeri tersebut masih terkawal dan pihaknya memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas terhadap penjual mercun yang tidak mempunyai permit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan