Malaysia, Indonesia Boleh Selesaikan Isu Melalui Perbincangan – Anifah

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia mampu menyelesaikan isu yang timbul melalui perbincangan dua hala tanpa memerlukan campur tangan pihak lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Setakat ini kita mampu duduk bersama dan berbincang untuk mencari penyelesaian sebaik mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Anifah yang diminta mengulas mengenai beberapa isu yang melibatkan Malaysia dan Indonesia berkata konflik yang berlaku antara dua negara itu ketika ini dapat diselesaikan menerusi semangat Asean.

Katanya sebagai dua buah negara yang berjiran, Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan dan saling berkongsi keuntungan dalam pelbagai aspek.

Sebuah badan dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa dilaporkan akan ke Malaysia menemui Anifah pada 6 Sept ini bagi membincangkan kejadian demonstrasi itu di samping isu-isu dua hala lain.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata saluran diplomasi antara Malaysia dan Indonesia perlu digunakan sebaik mungkin supaya hubungan mesra kedua negara dapat dikekalkan.

Dengan memanfaatkan saluran diplomasi tersebut, ia sekaligus dapat menghalang atau mengekang mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua negara ini, katanya.

Katanya perkara-perkara yang menyentuh kepada isu persempadanan akan sentiasa berlaku namun ia boleh diselesaikan dengan cara baik menerusi kebijaksanaan dan kematangan pemimpin kedua-dua negara.

"Dengan menggunakan saluran yang sedia terjalin ini, dapat memastikan bahawa perkara-perkara yang menyentuh persempadanan antara kedua-dua negara tidak menular dan menjadi satu perkara yang tidak diingini oleh kedua-dua pihak," katanya. – BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan