Isu Pengurusan Umno Rantau Panjang Selesai Sebelum Perhimpunan Agung

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengurusan Umno Bahagian Rantau Panjang dijangka dapat diserahkan kembali kepada bahagian itu seawalnya sebelum Perhimpunan Agung parti Oktober ini sekiranya isu-isu utama dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Katanya berdasarkan laporan lisan yang diterimanya, pertemuan yang diadakan semalam antara kedua-dua belah pihak yang bertelagah dengan disaksikan oleh Bendahari Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanapi Mamat, terdapat perubahan yang baik dan formula untuk memulihkan keadaan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau berharap isu-isu utama dapat diselesaikan sebelum pertemuannya dengan anggota jawatankuasa bahagian dan kesemua ketua cawangan di Rantau Panjang pada 16 September ini.

"Kalau dapat diselesaikan (sebelum Perhimpunan Agung Umno) baguslah. Sebelum ini, saya tidak sangka ia dapat diselesaikan dengan sebegitu cepat.

Jangkaan saya sebelum ini mungkin akhir tahun," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan kementerian itu di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Badan Perhubungan Umno Kelantan diminta mengambil alih pentadbiran bahagian itu oleh Majlis Tertinggi Umno ekoran masalah kepimpinan di bahagian itu.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin Umno Bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian secara berasingan pada Jun lepas.

Semalam, satu pengumuman perdamaian telah dibuat oleh ketiga-tiga pihak iaitu Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian Datuk Mohamad Zain Ismail serta bekas Bendahari Umno bahagian itu, Ghazali Ismail.

Mustapa berkata tidak ada sebab bagi Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk terus mentadbir bahagian Rantau Panjang sekiranya pertelingkahan itu berjaya diselesaikan. "Pertemuan (semalam) merupakan satu perkara yang positif, hakikat mereka sanggup bertemu itupun, satu petanda yang baik kerana bukan senang untuk bawa dua kumpulan yang bertelagah untuk bersama, bersemuka semeja. Itu satu perubahan yang amat saya alu-alukan". -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan