Beka MP Tanah Merah Digantung Keanggotaan Umno

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: Tiga anggota Umno Bahagian Tanah Merah termasuk bekas Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Shaari Hassan digantung keanggotaan parti selama tiga tahun, kata Setiausaha Umno bahagian Ahmad Ismail.

Beliau berkata dua lagi ialah Pemangku Ketua Umno bahagian Nik Kamarulzaman Sulong dan bekas anggota jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno bahagian Bahari Mohd Nor.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Rabu, Ahmad berkata penggantungan Shaari berkuat kuasa pada 10 Ogos lepas, manakala penggantungan Nik Kamarulzaman dan Bahari pula bermula 12 Ogos.

"Bagaimanapun tribunal Lembaga Disiplin tidak menyebut sebab-sebab mereka digantung dan surat yang saya terima bertajuk 'tindakan tatatertib ke atas ahli Umno'," katanya.

Beliau berkata surat pengantungan kesemua mereka ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 30 Ogos, setelah mesyuarat Lembaga Disiplin pada 27 Ogos lepas mendapati ketiga-tiga anggota terbabit bersalah.

Beliau berkata Shaari disabitkan mengikut fasal 20.9 (c) Perlembagaan Umno dan dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti atau dipilih sebagai calon pada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum akan datang.

Manakala Nik Kamarulzaman dan Bahari pula, katanya dihukum mengikut fasal 20.9(b) dan dibaca bersama fasal 6.2.2 Perlembagaan Umno, iaitu mereka digantung hak-hak keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal yang mana terkemudian, iaitu hak untuk memilih, dipilih atau dilantik untuk sebarang jawatan dalam parti.

"Penggantungan terhadap ketiga-tiga mereka ini harus menjadi pengajaran kepada anggota agar menggunakan saluran parti dalam menyelesaikan sebarang permasalahan," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad menyeru semua anggota merapatkan barisan dan tumpuan kepada gerak kerja memperkasakan parti dan berkhidmat untuk masyarakat sebagaimana disarankan oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Jun lepas, bekas Setiausaha Umno bahagian itu Amran Abdul Rahman dipecat setelah membawa perkara parti ke mahkamah dalam saman pemula terhadap Ketua Umno bahagian Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Timbalannya Baharuddin Yusof. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan