Sambutan Kemerdekaan Ke-53 Tetap Meriah Walaupun Tanpa Perarakan

Diterbitkan: Selasa, 31 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional meriah dan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup di Stadium Putra di Bukit Jalil, bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

Stadium yang sering kali menjadi tumpuan acara sukan, pelbagai konsert hiburan dan acara pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, pada hari Selasa bertukar wajah apabila dilimpahi dengan warna-warni semangat 1Malaysia.

Bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi", sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun-tahun lepas apabila tiada acara perbarisan dan perarakan bagi menghormati bulan puasa.

Tampil segak, berwajah segar serta bersemangat waja, lebih 10,000 orang hadir bersama keluarga masing-masing dengan menggenggam erat Jalur Gemilang untuk dikibarkan pada acara kemuncak sambutan.

Acara sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi diikuti dengan tiupan nafiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta menteri-menteri Kabinet tiba lengkap berbusana batik 1Malaysia selain duta-duta asing dan pemimpin parti-parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 940 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan yang terdiri daripada 500 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 440 pelajar Unit Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Sebaik tiba, Seri Paduka mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam sebanyak 14 das, dan kemudian diikuti dengan bacaan ikrar oleh 53 orang terdiri daripada wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya dari pelbagai kaum, diketuai oleh Pegawai Ko-Kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Gombak Mohd Faizullah Buyong.

Semangat patriotik mula menyelubungi seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali diikuti dengan laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang turut dilaungkan dengan penuh semangat oleh orang ramai yang memenuhi stadium.

Suasana kemudiannya bertukar lebih meriah apabila Persembahan Khas 1Malaysia yang mengandungi lapan segmen ditampilkan dalam bentuk penceritaan menerusi elemen penataan cahaya, kumpulan koir, kumpulan bicara berirama, penggunaan laser di lantai serta pergerakan formasi unik dan kreatif oleh kumpulan persembahan arena yang membentuk mesej 1Malaysia.

Bermatlamatkan mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu, segmen pertama iaitu Gagasan 1Malaysia membawa tetamu kehormat dan orang ramai menonton antaranya potret bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra, Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke-13 serta Perdana Menteri pertama hingga kini menerusi paparan visual yang disediakan.

Arena (ruang tengah) stadium kemudian mula dibanjiri seramai 1,640 peserta terdiri daripada kumpulan persembahan yang membentuk pergerakan formasi penceritaan, juga dibantu kumpulan bicara berirama serta kumpulan koir menerusi segmen kedua iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Segmen itu mengisahkan mengenai RMK-10 yang antara lain menekankan bidang pendidikan sebagai satu daripada agenda utama ke arah membangunkan insan bertaraf dunia.

Keasyikan penonton semakin terasa menerusi segmen seterusnya seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kreatif dan Inovatif, Model Baru Ekonomi, Kejayaan Negara, dan Kepantasan Bertindak di mana pengisiannya bukan saja bermesejkan 1Malaysia malah menjelaskan rancangan dan transformasi kerajaan berdasarkan pada pergerakan formasi manusia, visual, kumpulan koir dan kumpulan bicara berirama yang dipersembahkan.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Dalam segmen tersebut turut dipersembahkan Tempur Tanpa Senjata, Gerak Para, Kawad Senyap dan Aksi Komando dari pasukan anggota keselamatan negara.

Konsep penceritaan persembahan kali ini bukan sahaja berpandukan pada pergerakan formasi manusia, penggunaan audio visual, penataan cahaya malah ketekunan dan ketangkasan kumpulan bicara berirama dan kumpulan koir dalam meningkatkan semangat patriotik di kalangan penonton yang hadir, jelas dapat dirasai.

Sebagai persembahan penutup, nyanyian lagu 1Malaysia, Joget Malaysia dan Jalur Gemilang oleh kumpulan koir dari penuntut Universiti Lim Kok Wing, Institut Pendidikan Guru (IPG), artis kebudayaan dan peserta persembahan menyemarakkan lagi suasana apabila kemerduan lagu patrotik itu disemarakkan lagi dengan laungan nyanyian oleh semua peserta persembahan yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan kemerdekaan kali ini.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu, dijayakan 8,727 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan institut dari Kementerian Pelajaran seperti Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutan.

Ia turut disertai oleh Pasukan Anggota Keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kumpulan Sokka Gakkai Malaysia, pasukan PDRM tanpa uniform, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dari setiap negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Universiti Lim Kok Wing dan Intan.

Di MIRI, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 peringkat negeri yang diadakan di Stadium Tertutup Bandaraya Miri.

Acara dimulakan sebaik Salahuddin menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 108 orang anggota dari Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Sri Miri.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak, bacaan ikrar oleh wakil suku kaum Sarawak serta persembahan tarian Kasih Malaysia.

Lebih 5,000 orang menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan di stadium tertutup itu yang bermula kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Di KANGAR, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail membebaskan 53 ekor burung merpati sebagai simbolik kemerdekaan negara daripada penjajah di sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang berlangsung di Taman Merdeka.

Sambutan kali ini berlangsung tanpa perarakan berjalan kaki, sebaliknya hanya diisi dengan perarakan kenderaan jabatan dan agensi selain perarakan basikal klasik, motosikal klasik, beca dan kereta nasional.

Di KLUANG, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari ini turut bersama penduduk di negeri itu menyambut Hari Kemerdekaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

Acara kira-kira sejam itu disertai oleh 3,000 peserta daripada 81 kontinjen yang diisi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik, bacaan ikrar, laungan merdeka, deklamasi sajak dan penyampaian anugerah kepada kontinjen dan pakaian terbaik.

Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat ke majlis sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) yang dimeriahkan dengan perhimpunan seramai 3,060 peserta dari 51 kontinjen.

Selain pelbagai persembahan termasuk Simfoni Pergendangan 1Malaysia dan grafik 1Malaysia yang disertai seramai 500 pelajar, pidato bertajuk "Gagasan 1Malaysia Menjana Tranfomasi" turut disampaikan pelajar Sekolah Menengah Kabangsaan Agama Pahang Mohd Muzammil Ab Rahim.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakub turut bersama rakyat negeri itu memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Seramai 4,092 peserta daripada 94 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan sekolah mengambil bahagian dalam acara warna warni itu.

Selain nyanyian lagu-lagu patriotik, turut diadakan deklamasi sajak dan persembahan berkumpulan "Jejak Merdeka" oleh pelajar sekolah.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah menyertai perhimpunan dan perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang membabitkan lebih 3,000 peserta di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini.

Acara sambutan bermula dengan perbarisan kontingen dan perarakan membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah yang diketuai Mejar Mohd Zafferi Shari dari formasi 5 Briged.

Ia disusuli upacara menaikkan bendera dan nyanyian beramai-ramai lagu kebangsaan, ikrar Rukun Negara, persembahan koir dan bacaan sajak kemerdekaan.

Turut hadir di majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Hajah Dayang Masuyah Awang Japar, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Hajah Faridah Tussin dan para menteri Kabinet negeri.

Di PULAU PINANG, lebih 4,500 orang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa sambutan berkenaan Datuk Abdul Halim Hussain berkata sebanyak 82 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan sekolah memeriahkan sambutan yang bermula pada pukul 9 pagi itu.

Turut hadir pada acara itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan Exco kerajaan negeri.

Di ALOR SETAR, sambutan kemerdekaan peringkat negeri Kedah disambut secara sederhana dan ringkas namun tetap bersemangat apabila rakyat pelbagai kaum dan agama meraikannya di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman.

Sambutan kemerdekaan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat yang dianggotai tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Tok Jalai oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'dzam Shah.

Turut hadir ialah Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan isteri Toh Puan Faekah Sheikh Hamzah serta anggota Exco kerajaan negeri.

Bertitah pada majlis itu, Sultan Kedah mengingatkan rakyat agar menghargai institusi raja berperlembagaan yang menjadi pegangan penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup.

"Kemajuan yang kita nikmati hari ini tidak mampu dikekalkan sekiranya tidak mewujudkan kestabilan politik. Justeru beta harap agar rakyat dapat berpadu tenaga dan fikiran ke arah mewujudkan kestabilan dan kemakmuran negara yang berterusan," titah baginda.

Baginda menyeru agar semua rakyat dan pemimpin tanpa mengira fahaman politik sama-sama berganding bahu dan bersatu padu dalam mencapai kesejahteraan hidup.

Di SEREMBAN, sambutan kemerdekaan ke-53 peringkat Negeri Sembilan berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini dengan penuh bersemangat apabila kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum termasuk 182 kontinjen dari jabatan kerajaan, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO), meraikannya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan