Hasan Ali Cadang Peraturan Lebih Terperinci Masuk Surau Digubal

Diterbitkan: Isnin, 30 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Isnin, mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Beliau berkata peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.

"Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau/masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai kehadiran Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos.

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Hasan berkata beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan