Lebih Banyak Tempat Akan Banjir Jika Hujan Berterusan di Sibu

Diterbitkan: Ahad, 22 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Lebih banyak tempat di sini khususnya di kawasan rendah dijangka mengalami banjir jika hujan yang melanda hulu Sungai Rajang meliputi daerah Belaga, Kapit Song, Julau dan Kanowit sekarang, berterusan.

Residen Sibu Sim Koh Kee berkata ini kerana selama seminggu bermula esok bahagian itu akan mengalami keadaan air pasang tinggi.

"Keadaan banjir di Kanowit adalah disebabkan air hujan yang akhirnya akan melimpah ke sini. Kita akan menghadapi masalah jika paras sungai melepasi 3 meter. Pada masa ini paras sungai adalah 2.94 meter," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana dan Bantuan Bahagian, di sini Ahad.

Sim berkata setakat ini keadaan adalah terkawal dan pihaknya belum diminta melakukan pemindahan.

"Kita menyediakan 38 pusat pemindahan di sini, 54 di Selangau dan lapan di Kanowit.

"Bilik gerakan kita beroperasi 24 jam bermula hari ini dan orang ramai boleh hubungi menerusi talian 084-329590 or 012-8575747," katanya.

Beliau berkata sehingga semalam, beberapa tempat seperti Jalan Lanang dan Bukit Assek di sini tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Katanya masalah banjir di kawasan itu dijangka dapat diatasi dalam masa setahun setengah lagi apabila projek tebatan banjir siap.

Beliau juga menyifatkan keadaan hujan di Sungai Rajang yang melanda sejak beberapa hari lepas sebagai luar biasa memandangkan sekarang adalah musim kering. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan