SPR Akan Lantik MBM Sebagai Penolong Pendaftar Pemilih

Diterbitkan: Khamis, 19 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melantik Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (wakil pertubuhan) bagi membolehkan pertubuhan itu membantu mendaftarkan golongan belia sebagai pemilih.

Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata pelantikan itu juga membolehkan MBM membantu SPR daripada segi menimbulkan kesedaran kepada golongan belia akan kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

MBM juga akan berperanan memberi penjelasan berhubung isu-isu berkaitan dengan pendaftaran pemilih dan juga perjalanan pilihan raya, katanya dalam satu kenyataan, di sini Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai hasil pertemuan antara Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Sabri berkata sehingga suku pertama tahun ini, kira-kira 4.2 juta atau 37 peratus pemilih yang berdaftar dengan SPR adalah kategori belia iaitu berumur antara 21 dan 40 tahun.

Sehingga suku pertama tahun ini juga masih terdapat 4.3 juta atau 28 peratus warganegara yang layak belum mendaftar sebagai pemilih, katanya.

"SPR yakin bahawa MBM boleh memainkan peranan secara berkesan memandangkan MBM mempunyai rangkaian dengan belia-belia di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan