MCA Tidak Terganggu Dengan Ragam Perkasa, Kata Liow Tiong Lai

Diterbitkan: Khamis, 19 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: MCA tidak akan tergugat dengan gangguan luar dalam usahanya meminta peluang ekonomi yang lebih baik diberi kepada semua bangsa, kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata MCA sebaliknya akan terus memberi tumpuan membantu kerajaan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.

"Memang kita tahu ada kumpulan ekstrem yang tidak berpuas hati dan akan terus mempertikaikan berbagai isu. Kita tidak sepatutnya tergugat oleh gangguan-gangguan ini.

"Kita pentingkan agenda pembangunan negara serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dana persekutuan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Kwang Tong and Kwang Sai, di sini Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai reaksi pertubuhan bukan kerajaan Perkasa terhadap kenyataan MCA baru-baru ini yang meminta agar ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dikurangkan secara beransur-ansur.

Mengulas perkara lain, Liow berkata pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua membuktikan Model Baru Ekonomi diterima baik masyarakat dan Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai pertumbuhan sebanyak 6 peratus tahun ini.

"Kerajaan akan terus memantapkan ekonomi negara. Apabila kek ekonomi lebih besar dan pertumbuhan lebih baik, semua kaum akan mendapat manfaat. Kita perlu tumpukan kepada kebaikan untuk negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan