Jabatan Zakat Kedah Peruntuk RM11 Juta Kepada Pelajar Cemerlang

Diterbitkan: Khamis, 19 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR:Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) memperuntukkan RM11 juta bagi bantuan zakat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada anak-anak Kedah yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPT di seluruh negara tahun ini.

Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata 4,460 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPT tahun ini layak menerima bantuan zakat tersebut.

"Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti, mereka layak mendapat RM1,000 setiap seorang manakala pelajar yang melanjutkan pelajaran di kolej pula, mereka akan menerima bantuan zakat sebanyak RM600," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Bantuan Awal IPT Tempatan 2010 serta Bayaran Zakat Perniagaan di Pejabat Zakat Negeri di sini pada Khamis.

Beliau berkata JZNK juga menyediakan biasiswa kepada anak Kedah yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir.

"Untuk permulaan, kita memberi biasiswa kepada 14 orang pelajar yang layak dan mereka akan menerima RM248,000 setiap seorang. Kita menyediakan RM48,000 seorang untuk setahun pengajian," katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 400 pelajar Kedah yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPT tempatan menerima bantuan awal daripada JZNK.

Selain itu, JZNK juga menyampaikan bantuan zakat RM759,000 bagi pembinaan surau di Pusat Pendidikan Islah, Pinang Tunggal, Sungai Petani, RM27,600 kepada pelajar Diploma Pra-Perdagangan di Universiti Teknologi Mara, Merbok manakala RM5,000 bagi membina surau Nurul Huda di sini.

Pada majlis itu juga, Maybank Islamic Berhad menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM300,000 manakala Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Sungai pula menyerahkan zakat sebanyak RM84,537.41.- BERNAMA

iklan

iklan

Iklan