Ronnie Liu Terus Digesa Letak Jawatan

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Ronnie Liu terus menerima tekanan agar meletak jawatan selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor selepas menerima teguran keras berhubung isu kontroversi kepala surat.

Tekanan tersebut timbul daripada pemimpin-pemimpin DAP sendiri yang menyifatkan imej parti itu hanya dapat dipulihkan sekiranya Liu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu penyalahgunaan surat sokongan bagi mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Penasihat seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin berkata, Liu yang bertanggungjawab dalam jawatankuasa kajian dan penyelidikan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Sebagai ketua jawatankuasa kerajaan negeri (kajian dan penyelidikan) beliau patut tahu jika terdapat sebarang kesalahan," katanya sambil menambah imej parti itu tercalar hingga menimbulkan prasangka buruk dikalangan masyarakat terhadap jawatankuasa disiplinnya.

Jawatankuasa Disiplin mengeluarkan teguran keras kepada Liu berhubung pengurusan lemah portfolionya dan pemecatan ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Bon Hock berhubung penyalahgunaan kepala surat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berkata, 'kerja pemulihan' terhadap kerosakan yang dilakukan harus datang dari Liu sendiri yang juga Ahli Parlimen Pandamaran.

"'Saham' kami jatuh merundum kerana isu ini. Liu perlu bertanggungjawab dan mengambil langkah sewajarnya untuk memulihkan semula keadaan.

"Jika kita mahu parti kelihatan bersih, kita perlu cakap serupa bikin," kata Ooi yang juga Ketua Staf di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ooi berkata pandangan orang ramai menerusi dalam talian terlalu negatif berhubung isu ini.

"Ia penting kepada kami kerana pandangan secara dalam talian membantu membentuk perjalanan politik untuk DAP pada 2008," katanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Kim berkata, tindakan sewajarnya yang perlu diambil oleh mana-mana pemimpin yang didakwa melakukan kesalahan adalah meletak jawatan.

"Anda tidak perlu menjadi tukang tilik untuk melihat bagaimana perkara berkenaan boleh menjejaskan parti," kata Teng yang pertama kali menggesa Liu dan Tee meletak jawatan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke berkata, persoalan mengenai pemecatan Liu tidak timbul buat masa ini namun Liu perlu bangkit dari segi prestasi.

Sumber-sumber parti menyatakan masa depan Liu bergantung sama ada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus menyokongnya.

Namun Lim yang terus membisu berhubung isu itu dilihat memberi sokongan kepada Liu yang setia kepadanya selama ini.

Pilihan raya parti negeri itu turut ditangguhkan dari Oktober ke Disember bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan