Kejayaan Proton Kekal Dalam Pasaran Satu Pencapaian Tinggi: Mahathir

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penasihat Proton Holdings Bhd Tun Dr Mahathir Mohamad, Selasa berkata kejayaan Proton kekal dalam pasaran dan menyambut Jubli Peraknya pada tahun ini adalah satu pencapaian yang tinggi bagi syarikat pengeluar kereta nasional itu.

"Mengekalkan diri dalam pasaran adalah satu pencapaian yang amat tinggi kerana hari ini kita dapati syarikat automobil yang besar seperti GM, Chrsyler dan lain-lain semuanya terpaksa bergantung kepada bantuan," kata mantan perdana menteri itu di majlis berbuka puasa Proton bersama beliau di sini, Selasa.

Proton sebaliknya tidak memerlukan sebarang bantuan bahkan dapat mengembangkan pasaran dan produknya dengan sendiri dan ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan.

Dr Mahathir berkata biarpun tidak menduduki tempat pertama dalam pasaran kereta nasional tetapi prestasi syarikat itu telah bertambah baik.

Keuntungan Proton dalam suku pertama tahun ini meningkat berbanding suku pertama tahun lepas hasil usaha keras kakitangannya yang berdedikasi yang menghasilkan produk-produk yang diterima pasaran, kata beliau.

Menurut beliau Proton perlu meningkatkan usaha mengeluarkan model-model teknologi baharu yang menggunakan enjin hibrid ataupun elektrik.

"Kita belum memasarkan kereta-kereta ini, saya yakin apabila dipasarkan ia akan dapat sambutan yang baik daripada masyarakat," kata beliau.

Dr Mahathir berkata Proton harus meningkatkan lagi keupayaannya kerana ketika ini kereta-kereta Proton mempunyai potensi yang besar ke pasaran dunia.

Proton akan berusaha memasarkan keretanya ke pasaran Eropah dan negara-negara yang mempunyai standard atau piawaian tertinggi.

"Kita yakin kita mampu mencapai standard yang tinggi dan kita dapat bersaing dengan kereta-kereta lain," kata beliau.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata Proton sedang berada di landasan terbaik seperti yang dirancangkan termasuk pengeluaran model dan enjin baru.

"Proton akan melancarkan model bagi menggantikan Waja sedikit masa lagi." katanya dalam ucapan beliau di majlis itu

Beliau berkata Proton juga akan melancarkan enjin turbonya pada hujung tahun ini yang sedikit sebanyak akan merancakkan lagi pasaran industri kereta tempatan.

Pada majlis itu Dr Mahathir menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha Sri Gombak dan Rumah Anak Yatim Tuan Baiduri Dengkil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan