Loji Nuklear Semasa Selamat : Saintis UKM

Diterbitkan: Selasa, 17 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Loji tenaga nuklear moden (NPP) sangat selamat kerana dilengkapi "sistem bebas kegagalan", hasil daripada kemajuan sains dan teknologi, dan orang ramai tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka, kata saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noramly Muslim.

Prof Noramly, bekas Timbalan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (IAEA), menegaskan bahawa kejadian seperti Chernobyl tidak akan berulang.

Dalam insiden 1986, kebakaran dan siri letupan, memusnahkan NPP era Soviet di Chernobyl, Ukraine, dan akibatnya lebih 300,000 penduduk dipindahkan.

Kesan radio aktif masih dipantau sehingga hari ini.

Prof Noramly, 69, mendapati rakyat Malaysia, seperti di tempat lain, "bimbang membuta-tuli" kerana jahil terhadap apa sahaja yang berkaitan "nuklear".

Mereka secara umumnya tidak mempunyai maklumat dan tidak mengetahui mengenai tenaga nuklear, katanya.

Mereka juga tidak menyedari bahawa sains dan teknologi sudah melakar kejayaan dalam teknologi nuklear dan sudahpun membangunkan "sistem bebas kegagalan" di NPP, katanya dipetik sebagai berkata dalam portal berita Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Orang ramai secara amnya bimbang kerana tidak mengetahui, namun keadaan itu sudah berubah. Kini banyak yang sudah diketahui," katanya merujuk kepada Jepun, sebuah negara yang musnah teruk akibat letusan dua butir bom semasa Perang Dunia Kedua.

"Jika ada yang terpaku ketakutan terhadap NPP, ia sepatutnya penduduk Jepun.

Sebaliknya, negara itu hari ini mempunyai lebih 50 unit NPP di 17 lokasi, dari Hokkaido di utara hingga ke selatan Kyushu." Bagi Korea Selatan, beliau berkata negara itu mempunyai lebih 60 unit NPP yang terletak di empat bahagian di negara berkenaan.

"Semasa mereka memulakan projek membina NPP, mereka kurang daripada kita dari segi kerangka kerja perundangan/pelarasan dan mereka hairan mengapa negara kita yang mempunyai kerangka kerja yang tersedia, belum membangunkan NPP kita sendiri," katanya.

Korea Selatan, kata Prof Noramly, cemerlang dalam projek itu sehingga baru-baru ini ia memperoleh kontrak US$40 bilion untuk membangunkan loji tenaga nuklear untuk Emiriah Arab Bersatu.

Bekalan tenaga ekonomi maju seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom, dijana oleh tenaga murah yang disediakan oleh NPP.

Di Asia, China juga kini membangunkan lebih banyak NPP untuk membekalkan tenaga sebagai enjin pertumbuhan, manakala Itali, negara terakhir di Eropah yang menentang tenaga nuklear, kini mula membangunkan kemudahan itu.

Prof Noramly berkata di sesetengah tempat, penduduk tempatan yang mendesak pembinaan NPP kerana manfaat ekonomi dan industri yang disumbangkannya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kumpulan teras saintis yang bersedia digerakkan untuk membangunkan loji tenaga nuklear bagi menjana bekalan elektrik untuk memenuhi keperluan tenaga negara.

Malah, kumpulan ini sudah lama bersedia melancarkan, membina dan mengurus NPP sebaik arahan diberikan oleh kerajaan, katanya.

Prof Noramly kini berkhidmat di Sekolah Sains Kimia dan Teknologi Makanan UKM.

"Pakar-pakar ini sudah menunggu terlalu lama sehinggakan ada yang sudah tua dan bersara dan ada juga yang meneruskan kerjaya lain," katanya dan menambah usia beliau sendiri sudah hampir 70 tahun.

Prof Noramly yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI), pelopor Agensi Nuklear Malaysia, dari 1977 hingga 1982, berkata nuklear merupakan "sumber paling murah dan mesra alam" bekalan elektrik yang akan diperlukan apabila bahan api fosil seperti minyak dan gas, kehabisan.

Sama ada kerajaan Malaysia akan memutuskan pembinaan NPP, terdapat 200 atau lebih NPP baharu yang dibina di seluruh dunia menjelang 2030, apabila keperluan tenaga Malaysia akan meningkat 1.5 kali dan apabila pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) disasarkan dikurangkan 50 peratus.

Meskipun kehilangan dua dekad masa penting untuk membangunkan NPP Malaysia sendiri, Prof Noramly berkata kini terdapat tiga kumpulan pakar di Malaysia yang mempunyai pengetahuan luas mengenai tenaga nuklear.

"Malah jika kerajaan meluluskannya, ia akan mengambil masa 11 tahun untuk membangunkan dan menugaskan sebuah loji," katanya yang menegaskan bahawa NPP pertama hanya akan melengkapkan penjanaan tenaga sedia ada menerusi minyak, gas dan arang batu.

Dan, dengan andaian negara akan mempunyai sebuah NPP dengan 1,000 megawatts menjelang 2021, unit kedua dengan keupayaan yang sama perlu dibangunkan pada 2023 supaya operasi loji pertama dihentikan untuk proses penyelenggaraan.

Prof Noramly berkata, NPP sehingga ini merupakan penjanaan tenaga paling murah pada harga semasa.

Ia hampir lima kali lebih murah untuk mengeluarkan satu unit dari NPP berbanding dalam bentuk minyak atau empat kali lebih rendah berbanding gas.

Meskipun ia hanya satu pertiga berbanding arang batu, beliau bekata keputusan untuk pembinaan NPP merupakan keputusan tiga generasi memandangkan jangka hayatnya antara 60 dan 80 tahun.

Sebuah loji arang baru dengan pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global, mempunyai jangka hayat 20 tahun.

Bagi sumber-sumber tenaga hijau boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin, beliau berkata ia hampir 14 kali lebih mahal berbanding pengeluaran seunit tenaga daripada tenaga solar manakala ia lebih tiga kali lebih mahal berbanding angin.

Malah, tenaga hidro adalah tiga kali lebih mahal berbanding NPP. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan