Wang Ihsan Bukti Kerajaan Pusat Tidak Nafikan Hak Rakyat Kelantan

Diterbitkan: Isnin, 16 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELI: Pemberian wang ihsan berjumlah RM25 juta kepada pelajar di Kelantan membuktikan Kerajaan Pusat tidak pernah menafikan hak rakyat negeri itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sehubungan itu, tidak timbul isu kerajaan Pusat tidak membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan yang dituntut oleh kerajaan negeri itu.

"Peruntukan RM25 juta yang disediakan kepada pelajar Kelantan yang layak menerima wang ihsan itu tahun ini, adalah sebahagian daripada lima peratus daripada hasil minyak yang diperoleh di luar tiga batu nautika perairan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama anggota Batalion Pertama Rejimen Sempadan Kem Batu 11 di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 488 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah dan Air Lanas di kawasan Parlimen Jeli.

Anggota Parlimen Jeli itu turut merasmikan Bazar Ramadan di Hentian Rehat dan Rawat Gemang serta mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk setempat.

Mustapa berkata kerajaan Pusat sudah menunaikan segala tanggungjawabnya dalam menyediakan peruntukan menerusi pemberian wang ihsan, walaupun bukan dalam bentuk royalti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan pembinaan benteng atau tembok di kawasan Sungai Golok di sempadan sebelah Kelantan bagi mengatasi masalah tebatan banjir dan keselamatan.

Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan sewaktu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

"Kita masih dalam peringkat kajian (mengenai) kemungkinan keperluan pembinaan tembok dan benteng di sempadan itu, memandangkan ia penting untuk keselamatan dan (mengatasi) ancaman banjir," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan