Kerajaan Negeri Diminta Teliti Pembayaran Elaun KAFA

Diterbitkan: Isnin, 16 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan negeri diminta meneliti semula mekanisme pembayaran elaun guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) bagi mengelakkan kelewatan pembayaran elaun itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Johari Baharom berkata kerajaan pusat sentiasa memastikan pengagihan bayaran kepada guru Kafa di negeri-negeri dibuat sebelum tarikh pembayaran dan tidak sepatutnya berlaku kelewatan pembayaran.

Katanya tindakan pembayaran adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan bukan kerajaan persekutuan, yang tugasnya hanya menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk pembayaran kepada guru-guru.

"Kita proses untuk pembayaran kepada kerajaan negeri dua atau tiga kali setahun yang dibuat awal. Sepatutnya tak ada masalah pembayaran sebab kita dah bayar," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Biro Penerangan dan Biro Agama Umno negeri Kedah di sini malam Sabtu.

Sementara itu, Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan Umno Kedah berkata cadangan beberapa pihak supaya Bazar Ramadan atau restoran menjual juadah berbuka puasa pada waktu petang hendaklah melihat sama ada waktu itu munasabah atau tidak.

"Kalau nak hadkan lepas Asar baru boleh buka pun susah kerana ada orang mungkin pulang kerja awal. Tapi kalau pukul 11 pagi dia dah buka, pun tak boleh sebab makanan tu tak boleh tahan sampai malam," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan