Pelancong Asing Lebih Ramai Di Langkawi Pada Tahun Ini - Berita Semasa | mStar

Pelancong Asing Lebih Ramai Di Langkawi Pada Tahun Ini

Diterbitkan: Ahad, 15 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Kehadiran pelancong asing di Langkawi menunjukkan peningkatan ketara tahun ini apabila jumlah mereka kini mengatasi jumlah pelancong tempatan yang berkunjung ke pulau peranginan itu.

Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Megat Shahrul Azman Abas berkata berdasarkan rekod hotel-hotel di Langkawi, jumlah pelancong asing adalah 55 peratus berbanding hanya 45 peratus pelancong tempatan.

Beliau berkata keadaan ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini kerana kebiasaannya pelancong tempatan adalah 70 peratus manakala 30 peratus adalah pelancong asing.

"Pelancong tempatan sebenarnya meningkat tetapi pelancong asing lagi banyak yang meningkat. Peningkatan ketara pelancong asing adalah dari India, Timur Tengah dan Eropah. "Di India mungkin kerana sejak dua tahun lepas kita ada buat promosi di Mumbai, Delhi dan Chennai. Kita juga banyakkan misi jualan ke Timur Tengah," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya data rasmi pelancong ke Langkawi sehingga Jun lepas adalah seramai 1.2 juta dan beliau yakin jumlah pelancong akan mencapai 2.4 juta pada akhir tahun ini.

Tahun lepas seramai 2.36 juta orang berkunjung ke pulau legenda itu. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan