Najib Seru Masyarakat Cina Main Peranan Penting Bangunkan Negara

Diterbitkan: Sabtu, 14 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru masyarakat Cina supaya memainkan peranan penting dalam membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata mereka boleh memainkan peranan itu melalui inovasi ekonomi yang diwujudkan hasil daripada gandingan tulen dengan masyarakat lain.

"Melalui gandingan tulen ini, kita boleh mencapai matlamat untuk mengagihkan kekayaan negara secara adil. Kita perlu berbuat demikian sekiranya kita ingin mencapai potensi kita dan memelihara kemajuan serta kemakmuran yang telah kita nikmati selama ini," katanya semasa merasmikan Kongres Ekonomi Cina yang bertemakan "Peranan Masyarakat Cina Dalam Mencapai Matlamat Model Baru Ekonomi(MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," di sini.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan para pemimpin lain turut menghadiri majlis itu.

Najib berkata kerajaan sedang berusaha untuk membuka lebih banyak peluang kepada semua rakyat Malaysia dalam segenap bidang.

Beliau juga meminta sektor awam dan swasta berganding bahu dan memanfaatkan bakat yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini ke arah mencapai matlamat nasional.

Semua pihak, termasuk kerajaan, perlu menggalakkan pembentukan gandingan tulen antara masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera untuk memastikan negara ini terus maju.

"Kita perlu lakukan perkara ini kerana kita mengakui bahawa kepelbagaian menjadi teras kekuatan dan sumber kreativiti serta inovasi yang diperlukan untuk membangunkan ekonomi kita," katanya.

Najib berkata kerajaan tidak mampu melaksanakan semua perubahan yang diperlukan secara bersendirian dan memerlukan penyertaan serta kerjasama sektor swasta.

"Sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, kreativiti dan pelaburan yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan dalam menyokong usaha kita untuk memcapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kongres itu membincangkan bagaimana sektor swasta, termasuk masyarakat peniaga Cina, boleh dijadikan satu lagi tonggak untuk pertumbuhan dan pembangunan negara.

Najib berkata transformasi terhadap sektor swasta juga perlu dilakukan dengan segera memandangkan ekonomi tidak boleh berkembang tanpa komitmen dan penyertaan mereka secara positif.

Untuk mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang bersatu padu, kuat dan pintar.

"Kita perlu yakin dengan kemampuan sendiri dan memacu transformasi dengan penuh kesungguhan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk diri kita dan anak cucu kita.

"Kami (kerajaan) telah menyediakan cara untuk melakukan perkara ini melalui Program Transformasi Kerajaan (PTK), MEB dan RMK-10," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Chua berkata beliau berharap kongres itu akan menggubal resolusi tentang bagaimana mereka boleh menggerakkan masyarakat Cina dan Melayu mewujudkan gandingan tulen.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Dr Chua berkata untuk mencapai Wawasan 2020, semua kaum di negara ini perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi untuk membolehkannya bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kami ingin berlaku adil kepada bumiputera dan gandingan tulen merupakan suatu keperluan. Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, kita tidak mahu konsep 'Ali Baba', di mana seperti yang kita tahu, contohnya, banyak kontraktor Kelas F tidak mampu bersaing dengan syarikat besar dan yang sudah kukuh.

"Kami tidak mahu wujud suatu keadaan di mana hanya satu masyarakat yang berjaya. Kami mahu peluang yang serupa diberi kepada bumiputera dan sebab itulah kami cadangkan penubuhan gandingan tulen," katanya.

Beliau berkata untuk mencapai status negara maju, pengagihan kek ekonomi secara adil dan tindakan afirmatif, perlu dilaksanakan.

"Setiap orang perlu mendapat manfaat daripada pembangunan negara dan tiada siapa patut dipinggirkan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan