Kerajaan Kelantan Diingat Patuhi Undang-Undang Berhubung Dinar

Diterbitkan: Sabtu, 14 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengingatkan Kerajaan Kelantan agar tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan baru seperti penggunaan dinar dan dirham tanpa merujuk kepada kerajaan Pusat.

Mustapa berkata kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa dinar emas dan dirham perak itu akan dijadikan sebagai mata wang alternatif adalah jelas melanggar peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Saya nasihatkan kerajaan Kelantan jangan pandai-pandai (buat peraturan). Apa pun nak dibuat perlu berbincang kerana nanti rakyat terkeliru dengan bidang tugas kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Soal mata wang ini bidang tugas kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri dan ini apa yang telah dibuat adalah jelas melanggar undang-undang negara. Kita ada perlembagaan dan peraturan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, Sabtu.

Dua hari lalu Nik Aziz melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Semalam, BNM menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini dan menolak penggunaan dinar dan dirham.

Semalam juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa menyalahkan media yang katanya keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu.

Mengulas isu itu lagi Mustapa berkata apa yang dilakukan Kelantan itu sebenarnya hanyalah bertujuan politik semata-mata dan untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya akan menyalahkan kerajaan Pusat kerana menolak penggunaan dinar dan dirham itu.

"Ini tindakan politik dan untuk mendapatkan sokongan politik yang kononnya nanti kerajaan Pusat tidak Islamik dan ini jelas untuk mengasak kerajaan Pusat dan perkara ini amatlah mendukacitakan kami," katanya.

Mustapa berkata ketika ini kenyataan Nik Aziz dan Husam ternyata bercanggah mengenai penggunaan dinar dan dirham itu serta menyifatkan kedua-dua pemimpin PAS itu sudah "terperangkap" dengan isu itu.

Sementara itu Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yakin isu dalaman membabitkan Umno Bahagian Rantau Panjang akan selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

"Kita ada langkah tertentu yang akan diambil mengatasinya dan untuk menyakinkan rakyat hari ini kita lancarkan program juara rakyat di bahagian itu dan besar harapan kita keadaan di sana akan kembali pulih demi Umno," katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan