Bakti Akan Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Pakistan - Rosmah

Diterbitkan: Jumaat, 13 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Pakistan bagi membantu negara itu yang terjejas akibat banjir terburuk dalam sejarah negara berkenaan, kata isteri Perdana Menteri dan Presiden Bakti Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau menyampaikan mesej ini dalam perbualan telefon selama 15 minit dengan isteri Perdana Menteri Pakistan Begum Fouzia Yousaf Raza Gillani malam Khamis.

Rosmah memberitahu Fouzia antara barangan yang akan dihantar oleh Bakti termasuk susu tepung kanak-kanak, biskut, kelengkapan dandanan diri, minyak masak, tepung dan lampin bayi.

"Saya menyuarakan simpati bagi pihak rakyat Malaysia... lebih-lebih lagi bagi pihak wanita dan kanak-kanak (negara ini). Saya dapat merasakan penderitaan penduduk di sana," kata beliau kepada Bernama di sini malam Khamis.

Rosmah berkata bantuan itu akan dihantar pada 23 Ogos oleh pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia ke Karachi dan kemudian diagihkan ke kawasan yang terjejas.

"Ini merupakan barangan yang saya fikir diperlukan oleh penduduk di sana. Ini bantuan pertama daripada kami kepada mereka tapi selepas ini jika kami merasakan lebih banyak diperlukan, kami akan menimbang secara serius (untuk menghantar bantuan tambahan)," katanya.

Rosmah berkata Fouzia menyatakan penghargaan terhadap bantuan yang akan disalurkan oleh Bakti selain kepada kerajaan Malaysia yang hari ini memberi sumbangan US$1 juta (kira-kira RM3.18 juta) kepada Pakistan untuk menangani banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun yang mengorbankan 1,600 orang dan mengakibatkan lebih 15 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Beliau turut memberitahu Fouzia bahawa bantuan itu atas perasaan tulus ikhlas dan persaudaraan antara rakyat Malaysia dan Pakistan.

"Beliau berkata kerajaan akan memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang berhak menerimanya," kata Rosmah.

"Bila-bila saja anda perlukan bantuan, kami sedia membantu," kata Rosmah kepada Fouzia.

Dalam perbualan itu, Rosmah berkata beliau turut mendoakan agar penduduk Pakistan tabah menghadapi dugaan ini.

Beliau berkata Fouzia menyatakan terima kasih kerana beliau (Rosmah) menghubunginya pada masa Pakistan amat memerlukan bantuan dan turut menyebut peranan yang dijalankan oleh Mercy Malaysia dalam membantu mangsa.

"Saya berasa amat gembira dengan perkembangan ini... tahniah kepada Mercy kerana membantu," katanya.

Rosmah berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kelulusan untuk penghantaran bantuan menggunakan pesawat Charlie, sambil menambah Bakti telahpun mengutus surat kepada Panglima Tentera Udara berhubung perkara itu.

Katanya pesawat berkenaan hanya dapat mengangkut sehingga 25,000 pound barangan.

Rosmah berkata Bakti telah pun menghubungi banyak penderma, penderma biasa Bakti yang dikenali sebagai "rakan-rakan Bakti" dan mereka bersedia menderma barangan yang diperlukan itu.

"Sila hulurkan bantuan kepada mangsa jika anda berkemampuan menderma, terutamanya dalam bentuk wang tunai," kata Rosmah, sambil menambah beliau bersimpati dan bersedih terhadap mangsa bencana alam itu.

Rosmah berkata beliau berasa sedih, lebih-lebih lagi mengenangkan mangsa yang menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan sekarang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan