Polis Nafi Arah Untuk Tutup Semua Pintu Di Tingkat Dua Komtar

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menafikan dakwaan mereka yang mengeluarkan arahan agar kesemua pintu di tingkat dua Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ditutup sebagai langkah keselamatan.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata pihaknya tidak terlibat secara langsung dengan keputusan ataupun memberi arahan mengenai kawalan keselamatan di Komtar kerana kompleks itu mempunyai pengurusan dan sistem kawalan keselamatannya sendiri.

"Sememangnya kita ada menghadiri satu mesyuarat yang membincangkan mengenai keselamatan di Komtar selepas insiden seorang lelaki menepuk bahu Ketua menteri Lim Guan Eng pada 2 Ogos lepas, tetapi kita tidak membuat sebarang arahan malahan cadangan untuk menutup laluan pintu di tingkat dua itu juga bukannya datang dari polis," katanya di sini Khamis.

Beliau juga kecewa dengan laporan akhbar yang menyebut bahawa kesemua lima pintu di tingkat dua itu hanya boleh dibuka dengan kebenaran polis.

"Ini semua tidak benar. Komtar mempunyai pengurusannya sendiri di bawah sebuah syarikat manakala semua pejabat kerajaan pula adalah di bawah pentadbiran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, tiada kaitan dengan polis, kita hanya bertindak jika berlaku sebarang kes jenayah di kompleks itu," katanya.

Ayub berkata Komtar, yang menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri dan pejabat Ketua Menteri, tidak digazet sebagai kawasan keselamatan dan sasaran penting kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana katanya, kompleks itu juga adalah tempat awam yang mempunyai pusat membeli-belah dan sebagainya.

Beliau berkata pihaknya pernah menghantar laporan mengenai keselamatan di Komtar kepada kerajaan negeri dua tahun lepas untuk dinilai bagi tindakan selanjutnya.

Ayub juga berkata kerajaan terdahulu pernah bercadang untuk memindahkan pusat pentadbiran negeri itu ke tempat lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya meminta pengurusan Komtar meningkatkan kawalan keselamatan ekoran insiden seorang lelaki warga emas bertengkar dan menepuk bahu Ketua Menteri pada 2 Ogos lepas.

Bagaimanapun katanya, polis tidak mencadangkan sebarang langkah sebaliknya menyerahkan kepada pengurusan kompleks itu untuk menentukan mekanisme yang bersesuaian.

"Jika mereka telah membuat keputusan, janganlah jadikan polis sebagai 'punching beg' dengan menuding jari supaya orang keliru dan salahkan polis pula," kata beliau.

Semalam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Muhammad Yusoff Wazir, dalam satu kenyataan akhbar berkata kerajaan negeri akan menyemak semula prosedur keselamatan baru di Komtar.

Ini berikutan insiden seorang pengusaha kedai kopi menyimbah petrol tubuhnya selepas mendedahkan bahawa sumber rezekinya terjejas teruk disebabkan penutupan pintu itu.

Teoh Bak Seng, 53, berbuat demikian dalam cubaan membakar diri di hadapan sekumpulan orang ramai serta wartawan di Komtar selepas gagal menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan