Isu Sijil Halal: Jakim Kata Persatuan Hotel Keliru

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak dakwaan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bahawa jabatan itu mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu sijil halal.

Sebaliknya Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamed Sheikh Abdul Aziz menjelaskan, pihaknya tidak meminggirkan mana-mana hotel yang mempunyai sijil halal selain yang dikeluarkan Jakim selagi ia diperakui jabatan itu.

“Apa yang kami maklumkan adalah sijil halal dikeluarkan Jakim, tetapi kami turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan maklumat lanjut di laman web halal Jakim.

“Kami juga telah perjelaskan carian di laman web itu turut membabitkan senarai hotel yang mendapat sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

“Justeru, dakwaan MAH mengatakan kenyataan Jakim mengelirukan tidak tepat kerana kami sudah memaklumkannya sebelum ini,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MAH, Datuk Mohd Ilyas Zainal Abidin meminta Jakim mengeluarkan statistik mengenai jumlah hotel di seluruh negara yang diberikan sijil halal.

Persatuan itu turut membidas kenyataan Jakim pada Selasa bahawa hanya 22 hotel memiliki sijil halal yang boleh mengelirukan umat Islam terutama sepanjang Ramadan.

Sedangkan daripada seramai 552 ahli MAH di seluruh negara, 224 hotel mempunyai sijil halal melebihi daripada apa yang dinyatakan Jakim.

Sijil halal itu diperoleh daripada Jakim, Jain, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), kata persatuan itu lagi.

Mengulas lanjut Wan Mohamed berkata, kenyataan itu sendiri merujuk kepada hotel di Wilayah Persekutuan berikutan pensijilan halal di kawasan itu dikendalikan terus oleh Jakim.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di bawah Jakim dan sebarang urusan pensijilan halal di bawah pentadbiran kami maka isu ini tidak perlu dipertikaikan,” ujarnya.

Selain hotel di Wilayah Persekutuan, katanya, hotel berangkai dan hotel antarabangsa hanya mendapatkan sijil halal daripada Jakim.

Berhubung Main, katanya, majlis itu di bawah Jain dan pengurusan di bawah jabatan itu manakala pensijilan halal HDC pula telah diambil alih oleh Jakim.

Tanggungjawab pengeluaran sijil halal Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan HDC telah diserahkan semula kepada Jakim pada Ogos tahun lalu, jelasnya.

Menurut beliau, sewaktu proses peralihan serahan tanggungjawab itu, semua sijil halal HDC yang masih sah tempoh lakunya secara automatik diiktiraf Jakim.

“Sijil itu masih diiktiraf kerana pengurusan pengeluaran sijil HDC dikendalikan pegawai Jakim dengan piawaian tetap operasi dan standard ditetapkan Jakim.

“Maka tidak timbul isu hotel yang mempunyai sijil halal daripada HDC ketika ini dan sah untuk digunakan sehingga tarikh tamat tempoh,” tambahnya lagi.

Peralihan fungsi pengeluaran sijil halal antara kedua pihak itu diputuskan Kabinet berikutan Jakim mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan hal berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Mohamed berkata, keputusan MAH untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan sijil halal yang diperoleh ahli persatuan itu dihormati.

Beliau menambah, Jakim tidak menghalang keputusan itu selagi senarai berkenaan perlu dipastikan lengkap termasuk badan yang mengiktiraf sijil halal.

“Jakim bertanggungjawab menyediakan ‘data’ senarai hotel yang mendapat sijil halal daripada Jakim dan Jain menerusi laman web halal Jakim.

“MAH juga perlu memastikan sama ada sijil halal itu turut diperoleh daripada syarikat swasta atau tidak,” ujarnya.

Wan Mohamed berkata, Jakim sering kali menasihatkan pengguna supaya memastikan hotel yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu mempunyai sijil halal.

“Jakim tiada kuasa menentukan pilihan pengguna. Kuasa terletak di tangan mereka terutama pengguna Muslim untuk berbuka puasa di hotel yang mempunyai sijil halal atau tidak.

“Sijil halal juga adalah sukarela dan bukan paksaan. Terpulang kepada hotel untuk mendapatkannya namun kepentingan pengguna Muslim harus dihormati dan akan dikenakan tindakan sekiranya terdapat kesalahan berkaitan,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai senarai hotel yang mendapat sijil halal boleh melayari laman web www.halal.gov.my.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan Jain bagi hotel di peringkat negeri.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan