BAKTI Bekal Serunding Istimewa Untuk Anggota Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hampir 40,000 anggota keselamatan yang bertugas ketika Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal menerima serunding istimewa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti). Yang Dipertuanya Datin Seri Rosmah Mansor berkata berbanding tahun-tahun sebelumnya, Bakti kali ini membekalkan serunding ayam dari Agromas untuk diagih kepada anggota terbabit.

"Serunding ayam dalam bungkusan berkenaan kita tempah khas daripada Agromas. Dengan cara ini Bakti secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada syarikat industri kecil seperti Agromas dalam mengembangkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Terdahulu isteri Perdana Menteri itu bersama isteri mantan Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta anggota Bakti membungkus 39,000 kotak makanan mengandungi serunding ayam, rendang daging, kuah kacang dan nasi impit.

Rosmah berkata jumlah bekalan yang akan diagih juga meningkat berbanding 32,000 tahun lepas berikutan pertambahan anggota keselamatan yang bertugas semasa hari raya kali ini.

Beliau berkata sebanyak 15,000 kotak akan diagih kepada anggota tentera yang bertugas di dalam dan luar negara, 20,000 kepada anggota polis dan bakinya diagih kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

Bakti akan menyerahkan bungkusan makanan itu kepada wakil pasukan keselamatan terbabit esok, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan