Isu Halal: Kuasa Di Tangan Anda

Diterbitkan: Rabu, 11 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Selasa memberi amaran kepada pengusaha hotel yang tidak mempunyai sijil halal supaya tidak menggunakan istilah bufet Ramadan.

Masyarakat hari ini semakin memberikan perhatian terhadap premis yang mempunyai sijil halal manakala pengusaha hotel juga menyedari keperluan itu demi menjaga kepentingan pengguna Muslim.

Bagaimanapun, kesedaran itu hanya bersandarkan logo dan sijil halal tetapi masih ramai kurang memahami penggunaan terma itu.

Keadaan itu pasti berlaku terutama pada hari ini bermulanya umat Islam menunaikan ibadat rukan Islam ketiga iaitu puasa pada bulan Ramadan.

Genap seminggu lalu, mStar Online telah menyiarkan berita mengenai tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan istilah bufet Ramadan.

Di bawah Seksyen 18 (2) Akta Perihal Dagangan 1967, kesalahan itu akan dikenakan denda maksimum RM250,000 dan kesalahan kedua serta seterusnya pula dikenakan denda maksimum RM500,000.

Jakim melakukan pemantauan pensijilan halal manakala penguatkuasaan berkaitan akta tersebut di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Bufet Ramadan adalah istilah perbahasaan halal yang digunakan dalam makanan atau apa juga bentuk perdagangan atau perniagaan bermaksud halal atau ditanggung halal.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamed Sheikh Abdul Aziz berkata, masyarakat terutama pengguna Muslim tidak perlu keliru dengan terma bufet Ramadan.

“Apa yang lebih penting adalah mereka perlu memastikan premis untuk berbuka puasa itu mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim, Jain atau badan yang dilantik Jakim.

“Istilah itu (bufet Ramadan) hanya digunakan Jakim bagi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap semua hotel termasuk yang sudah mendapatkan sijil halal sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Bukan Jakim semata-mata

Tempoh sebulan dalam Ramadan merupakan ‘lubuk emas’ bagi kebanyakan hotel mengaut keuntungan dengan menganjurkan promosi berbuka puasa.

Sejak awal lagi, masing-masing berlumba-lumba menguar-uarkan promosi dengan pelbagai tawaran menarik dari segi harga, menu, konsep sehingga ke persekitarannya.

Syarikat korporat dan individu juga pastinya tidak terkecuali merencana tarikh dan lokasi bersesuaian untuk menganjurkan majlis berbuka puasa.

Justeru, Wan Mohamed menggalakkan umat Islam supaya hanya berbuka puasa atau menganjurkan majils berbuka puasa di hotel yang mempunyai sijil halal disahkan Jakim atau Jabatan Islam Agama Negeri (Jain).

Kenyataan itu ternyata menarik nafas lega sebahagian hotel yang mempunyai sijil halal daripada Jain berikutan Jakim sebelum ini hanya mendedahkan sijil halal Jakim.

Apatah lagi, pengiktirafan sijil halal Jakim tidak pun mencecah 100 dapur hotel berbanding dengan lebih 2,000 hotel di negara ini.

Perbandingan antara jumlah dapur hotel yang disahkan halal dan jumlah hotel di negara ini melihat satu jurang amat besar.

Timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemain industri terutama pengusaha hotel yang mendapat sijil halal Jain seolah-olah mereka dipinggirkan Jakim.

Perkara itu mewujudkan persepsi bahawa golongan terbabit tidak prihatin terhadap kepentingan pengguna Muslim sekaligus memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Mingguan mStar yang diterbitkan bersama akhbar The Sunday Star pada Ahad lalu turut menyiarkan cerita muka depan mengenai Ramadan dan isu halal.

Wan Mohamed dalam laporan itu berkata, dakwaan pelbagai pihak mengatakan Jakim meminggirkan pengusaha hotel lain adalah tidak benar.

“Daripada lebih 2,000 hotel mempunyai sijil halal antaranya turut diperakui Jain. Dakwaan itu sekadar persepsi membabitkan isu sijil halal sahaja.

“Mana-mana hotel masih boleh menjalankan operasi tanpa mendapatkan sijil halal kerana ia adalah sukarela, namun status itu sebenarnya menghormati kepentingan industri dan pengguna,” tambahnya lagi.

Antara hotel dan dapur hotel

Berdasarkan kenyataan terkini Jakim, sebanyak 22 hotel dan 51 dapur hotel di Kuala Lumpur diberikan sijil halal oleh Jakim sehingga bulan ini.

Kenyataan itu mengundang kekeliruan pelbagai pihak berikutan pensijilan halal sebelum ini hanya merujuk kepada dapur hotel dan bukannya hotel.

Bagi memperjelaskan keadaan itu, Wan Mohamed berkata, sejak dahulu tiada hotel yang diberikan pengiktirafan halal kepada hotel, namun status itu kekal merujuk kepada dapur hotel.

“Bagaimanapun, perangkaan sijil halal yang membezakan hotel dan dapur hotel apabila sesebuah hotel itu mendapat sijil halal bagi ke semua hotelnya.

“Kebanyakan hotel-hotel besar di negara ini mempunyai banyak dapur termasuk dapur utama. Jika hanya merujuk kepada dapur hotel bermakna hotel berkenaan sijil halal itu diiktirafkan kepada sebahagian hotel dan bukan keseluruhan,” ujarnya.

Akta Perihal Dagangan 1967 bakal dipinda dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini bagi membolehkan Jakim diberikan kuasa untuk melaksanakan peraturan berkaitan logo dan sijil halal.

Ini kerana Akta Halal diperlukan namun ketika ini tidak ada satu pun akta yang jelas mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan logo dan sijil halal sehingga menyukarkan tindakan menguatkuasakan peraturan tersebut.

“Bagaimanapun kami terus diberikan fungsi untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bersama KPDNKK sehingga pindaan akta dibuat yang bakal menyaksikan perubahan terhadap bidang kuasa Jakim,” jelas Wan Mohamed.

Walaupun terdapat tindakan menarik atau menggantung sijil halal serta denda di bawah Akta Perihal Dagangan 1967 namun semuanya masih bergantung nasib kepada pengguna Muslim.

Sama ada mereka benar-benar prihatin dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengguna, ini semua bergantung kepada kesedaran mereka membuat keputusan paling bijak.

Hakikatnya, kuasa beli di tangan pengguna, maka jangan diperlekehkan kepentingan itu sehingga dimanipulasi pemain industri yang hanya rakus mengejar keuntungan.

Ramadan ini menyaksikan pelbagai juadah bufet membangkitkan selera namun perlu dipastikan setiap yang dijamu itu adalah halal. Tepuk dada tanya selera.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan