Indonesia Akan Sekat Empat Juta Laman Porno

Diterbitkan: Rabu, 11 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Kerajaan Indonesia pada Selasa mengumumkan akan menyekat akses empat juta laman porno di internet setelah menerima desakan masyarakat secara berterusan berhubung perkara itu, khususnya dalam usaha melindungi golongan remaja daripada bahaya pengaruh pornografi.

Sekatan akses itu meliputi semua laman yang mengandungi bahan pornografi seperti aksi persenggamaan normal mahupun yang di luar tabie, aksi bogel, penampilan visual alat kelamin dan simbol-simbol pornografi.

Menteri Komunikasi dan Informatika Tifatul Sembiring berkata langkah itu yang diambil bersempena bulan suci Ramadan, adalah selaras dengan kehendak undang-undang anti-pornografi Indonesia yang diluluskan 30 Oktober 2008.

"Pada masa ini sekitar 90 peratus laman porno sedang disekat aksesnya, kami akan melakukannya bertahap-tahap sehingga semuanya disekat," katanya pada sidang akhbar di Jakarta, Selasa. Laman pornografi sering dipersalahkan oleh masyarakat sebagai penyebab kepada masalah moral di kalangan anak-anak muda kerana ia telah memberi kesan yang nyata dalam suasana kehidupan masa kini.

Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia misalnya telah menyatakan bahawa penyebaran video porno artis popular dan selebriti Indonesia Ariel, Luna Maya dan Cut Tari baru-baru ini telah mendorong penontonnya memperkosa 33 kanak-kanak.

Tifatul berkata sekatan akses itu akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ramadan, selagi undang-undang anti-pornografi berkuatkuasa.

Sekatan itu akan membabitkan semua kata kunci dalam pencarian yang boleh dikaitan dengan seks seperti "bogel" dan seumpamanya.

Walaupun berdepan dengan kesulitan melaksanakan sekatan itu kerana adanya potensi kebocoran, segala langkah akan diambil untuk memastikan masyarakat dapat dilindungi daripada bahan pornografi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan