Pembangkang Perlu Minta Ampun Dengan Sultan Johor - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 10 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangkang perlu memohon ampun dan maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana menggunakan gambar baginda pada kain rentang sempena kempen Parti Keadilan Rakyat di Johor baru-baru ini.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai perbuatan melampau dan keterlaluan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa pembangkang tidak wajar mengeksploitasi dan menggunakan nama baginda Sultan bagi kepentingan politik mereka.

“Saya tak tahu sama ada perkara ini melanggar undang-undang atau tidak. Apa pun mereka perlu memohon ampun kepada raja. Mereka tidak patut mengulangi perkara ini lagi.

“Bila raja sudah murka, pihak yang dimurkai itu perlu memohon ampun dan maaf kepada baginda. Itu perkara biasa bagi adat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku 'Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia' di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini pada Selasa.

Semalam, Sultan Ibrahim murka dengan penyebaran kain rentang yang memaparkan gambar Baginda Tuanku bersama Pengerusi Parti Keadilan Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng ketika kempen parti itu di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Baginda menyifatkan, tindakan individu yang tidak dikenal pasti itu seolah-olah mencabar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, yang memperuntukkan seorang Menteri Besar itu mestilah Melayu dan beragama Islam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pembangkang seharusnya memahami kedudukan raja sebagai payung negara dan nama baginda tidak boleh digunakan dengan perkara berkaitan politik.

“Nama baginda tidak harus dipermain-mainkan dan disalahguna kerana ia telah mengundang kemurkaan Sultan Johor," katanya.

Jelasnya, pembangkang seharusnya faham peranan Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan nama baginda tidak boleh dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

"Apakah mereka bertujuan tidak baik? Kita tidak boleh mengeksploitasi kedudukan raja-raja kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan martabat baginda.

"Kita harus sanjung dan menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu. Mana-mana parti politik perlu faham tentang perkara ini," katanya.

Ditanya adakah tindakan itu jelas menunjukkan pembangkang terdesak untuk menawan semula hati rakyat, Muhyiddin berkata: “Saya tidak tahu perkara itu. Pembangkang perlu menghormati kedudukan raja, jangan kita perkecil hal-hal yang boleh menimbulkan salah faham.

"Saya tak tahu kenapa ada pihak-pihak tertentu hendak mengeksploitasi kedudukan raja dan perkara ini tidak seharusnya berlaku," ujarnya lagi.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan