Hubungan Dengan Najib Baik - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 10 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menunjukan buku berjudul Najib Tun Razak -Melakar Transformasi Malaysia di majlis pelancaran buku tersebut di Perbadanan Kraftangan Jalan Conlay di sini, Selasa. Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (kanan). Buku bergambar setebal 300 muka surat itu merupakan terbitan Jabatan Penerangan Malaysia dijual dengan harga RM100 sebuah.-Foto THE STAR: NORAFIFI EHSAN.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menunjukan buku berjudul Najib Tun Razak -Melakar Transformasi Malaysia di majlis pelancaran buku tersebut di Perbadanan Kraftangan Jalan Conlay di sini, Selasa. Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (kanan). Buku bergambar setebal 300 muka surat itu merupakan terbitan Jabatan Penerangan Malaysia dijual dengan harga RM100 sebuah.-Foto THE STAR: NORAFIFI EHSAN.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menolak dakwaan hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak renggang.

Menurutnya, perkara tersebut tidak benar kerana hubungan beliau dan Najib berjalan baik seperti sediakala.

"Tidak ada pihak yang harus meragui sokongan padu yang saya telah berikan kepada Perdana Menteri sejak dari awal lagi hingga kini.

"Saya tahu kedudukan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri, bos saya adalah Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku 'Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia' di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini pada Selasa.

Muhyddin berkata soal kesetiaan beliau terhadap Perdana Menteri tidak harus dicurigai oleh mena-mana pihak kerana Najib sendiri telah menaruh kepercayaan yang tinggi terhadapnya apabila melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

"Ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menimbulkan spekulasi bahawa hubungan saya dan Perdana Menteri renggang. Tapi perkara ini tidak berjaya," katanya.

Ditanya sama ada pernahkah berlaku apa-apa krisis antara beliau dan Najib, Muhyiddin berkata:"Langsung tidak ada. Anda pernah dengar apa-apa?.

"Media lebih tahu, kalau dia tahu sudah pasti mereka akan keluarkan. Kalau tak ada bahan macam mana mereka hendak tulis berita," ujarnya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata penghasilan buku 'Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia' mampu mengubah minda dan tanggapan serong sesetengah pihak yang selama ini meragui keikhlasan Perdana Menteri dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Penerangan Malaysia kerana sentiasa berusaha untuk menerbitkan buku-buku bertemakan kenegaraan yang memberi penjelasan tentang dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

"Ini penting kerana tanpa sokongan rakyat, sesuatu dasar atau program yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan berjaya walaupun ia mempunyai matlamat yang murni dan bertujuan untuk membawa kesejahteraan kepada kehidupan mereka.

"Lebih buruk lagi apabila sesuatu dasar atau program kerajaan itu, diputarbelitkan oleh pihak tertentu, semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik peribadi masing-masing," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Muhyiddin berkata buku yang dihasilkan tersebut mengupas secara jelas topik-topik berkaitan gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sebelum ini kurang difahami oleh rakyat.

Beliau berkata semua dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri bertujuan untuk memajukan negara dan membolehkan rakyat hidup dengan lebih sejahtera serta bersatu padu dalam mendepani cabaran yang datang bersama arus globalisasi.

"Dalam hal ini, saya berbangga dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan begitu tabah dan dengan penuh rasa tanggungjawab sentiasa berusaha untuk membuka minda rakyat agar mereka menerima pembaharuan yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri demi kesejahteraan hidup mereka dan generasi yang akan datang," katanya.

Muhyiddin turut meminta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan supaya bertindak proaktif, inovatif dan kreatif dalam mendampingi rakyat kerana ada pihak yang sentiasa mencemburui kejayaan kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

"Ini adalah agar mereka (rakyat) terus mendapat maklumat sebenar tentang dasar dan cita-cita murni kerajaan serta tidak termakan putar belit golongan yang hanya ingin mendapat kedudukan politik semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Jabatan Penerangan sentiasa berusaha untuk menerbitkan buku-buku bertemakan kenegaraan bagi menarik seluruh lapisan masyarakat khususnya generasi muda supaya lebih meminati dunia pembacaan daripada dunia hiburan.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin menegaskan bahawa buku tersebut menjelaskan secara terperinci dan tepat fakta berkenaan dasar-dasar dan program kerajaan yang dipelopori oleh Perdana Menteri dan sekaligus dapat menangkis salah faham ataupun tafsiran yang berbeza yang boleh menimbulkan polemik dan kesan yang tidak baik kepada negara.

"Segala apa yang terkandung dalam buku ini, apa yang macam satu kronologi perjalanan pimpinan kita ini dan idea-idea yang diketengahkan dapat dibukukan dan saya kira dibantu dengan gambar boleh memberi satu penjelasan yang lebih tepat," katanya.

Buku setebal 293 muka surat itu dijual pada harga RM98 senaskhah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan