YKN Berhasrat Tubuh Pusat Dialisis Di Setiap Negeri

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bercadang menubuhkan pusat dialisis di setiap negeri bagi memenuhi keperluan berikutan peningkatan pesakit buah pinggang di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata buat masa ini terdapat tujuh pusat dialisis YKN iaitu di Bangsar dan Pantai Dalam (Kuala Lumpur), Kuala Terengganu, Rompin, Kota Kinabalu, Kota Baharu dan Kuala Pilah.

Katanya langkah itu boleh mengurangkan kebergantungan kepada pusat dialisis yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada tahun lepas sahaja, YKN telah membelanjakan RM4.1 juta untuk membiayai seramai 1,094 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di pusat dialisis yang disediakan oleh Badan Bukan Kerajaan di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian YKN Dialisis Kuala Pilah, di sini Isnin.

Perasmian disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz. Turut berangkat Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani.

Mengenai YKN Dialisis Kuala Pilah, Shahrizat berkata ia bagi membantu pesakit buah pinggang terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah.

Pusat itu yang menerima peruntukan RM1.5 juta dilengkapi 10 buah mesin dialisis bagi kegunaan 40 pesakit, katanya.

"Ianya akan memberikan suasana rawatan yang selesa, berkonsepkan mesra pesakit serta mematuhi spesifikasi perawatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Pusat ini juga akan dilengkapi sebuah van untuk keperluan pengurusan dan pesakit. YKN akan bekerjasama rapat dengan tabung kebajikan dialisis Kuala Pilah untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada kumpulan sasar setempat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan