Perodua Yakin Jualan Keretanya Capai 185,000 Unit Tahun Ini

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berkeyakinan mencapai jualan sebanyak 185,000 unit kenderaan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh berkata keyakinan itu adalah berasaskan tempahan yang diterima dan sambutan orang ramai yang menggalakkan terhadap model-model kenderaan jenis MyVi, Viva dan Alza.

Jangkaan jualan 185,000 unit itu adalah melebihi sasaran jualan 176,000 unit kenderaan pada tahun ini, katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pusat penyelenggaraan Perodua cawangan Bayan Lepas di sini, Isnin.

Untuk bulan Julai saja, jumlah tempahan diterima ialah sebanyak 23,000 unit, iaitu 9,300 unit bagi Myvi, Viva (9,000 unit) dan Alza (4,600 unit).

Sehingga Julai lepas, Aminar berkata Perodua telah menjual 115,000 unit, iaitu peningkatan 20.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya peningkatan jualan model Myvi juga didorong pengenalan Myvi LE yang dikhususkan kepada wanita dengan jumlah tempahan diterima sejak ia diperkenalkan 7 Julai lalu adalah sebanyak 2,793 unit.

"Tujuh puluh peratus daripada pembelinya adalah wanita, manakala selebihnya adalah lelaki yang mungkin membelinya untuk digunakan ahli keluarga wanita," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai cadangan pembentukan pakatan strategik antara Perodua dengan Proton Holdings Bhd (PROTON), beliau berkata perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada pemegang sahamnya dan sehingga kini tiada wakil Proton atau kerajaan yang menemui untuk berbincang.

"Kami bersedia untuk berbincang dengan mereka dalam bidang khusus yang boleh menghasilkan keuntungan bersama dan yang tidak memberikan kesan negatif kepada model perniagaan masing-masing.

Aminar berkata, Perodua sebelum ini pernah bekerjasama dengan Proton dalam pembekalan 120,000 kepala silinder setiap tahun untuk Proton jenis Campro.

Katanya Perodua dan Proton mungkin boleh bekerjasama dalam pembangunan vendor yang sama yang berjumlah 100 pengedar ketika ini bagi membolehkan kedua-dua syarikat menerima manfaat untuk tempoh jangka masa panjang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan