Penagih Berkelulusan Tinggi Makin Meningkat

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Statistik penagihan dadah di seluruh negara bagi tempoh 2008 hingga Mac tahun ini yang dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI) bukan sahaja akan terus mengejutkan banyak pihak, tetapi membuktikan dadah masih merupakan musuh negara nombor satu.

Sekadar perbandingan pada tiga bulan pertama 2009 jumlah penagih baru yang dicatatkan ialah 1,723 orang dan untuk tempoh yang sama tahun ini, jumlah penagih baru ialah 3,611 orang iaitu peningkatan sebanyak 109.58 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Lebih membimbangkan, statistik juga menunjukkan peningkatan mendadak terhadap penagih golongan remaja berusia 19-24 yang dikesan dalam tempoh yang sama, dengan 330 penagih dalam tiga bulan pertama 2009 kepada 755 penagih pada Januari hingga Mac 2010.

Atas dasar tanggungjawab terhadap masyarakat, khususnya golongan belia dan para pelajar, Kolej Universiti Taylor baru-baru ini telah menganjurkan ‘Drug Free Campus Campaign’ di kampus terbarunya, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya penagihan dadah.

“Kami melihat statistik. Peningkatan yang ditunjukkan sangat menakutkan. Justeru, kami mengambil inisiatif menganjurkan kempen ini bukan sahaja untuk pelajar dan staf tetapi dibuka kepada orang ramai,” kata Ketua Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi Kolej Universiti Taylor, Adnan Omar.

Lebih mendorong institusi ini menganjurkan kempen ini apabila melihat peningkatan turut berlaku ke atas bilangan penagih yang dikesan mengikut tahap akademik sepanjang tahun 2008, 2009 dan dari Januari hingga Mac 2010.

Walaupun majoriti penagih yang dikesan sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat tingkatan tiga tetapi jumlah penagih yang mempunyai tahap akademik di peringkat diploma, ijazah dan lain-lain (sijil, sijil kemahiran) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini juga meningkat berbanding tempoh sama tahun 2009.

Pada 2009, penagih yang berkelulusan di peringkat sijil kemahiran dan seumpamanya mencatatkan peningkatan sebanyak 397.35 peratus dengan jumlah penagih seramai 751 berbanding 151 pada 2008.

Peningkatan turut berlaku dari segi bilangan penagih yang mempunyai kelulusan tahap diploma dan ijazah sepanjang Januari hingga Mac 2010 dengan perbandingan tempoh yang sama tahun 2009.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama 2009, seramai 16 penagih yang mempunyai diploma dikesan tetapi meningkat kepada 38 penagih pada tahun ini. Tahun lepas, tiada penagih yang mempunyai ijazah dikesan untuk tempoh yang sama, tetapi tahun ini seramai lima penagih berjaya dikesan sehingga Mac,” katanya.

Usah lepas tangan

Mengulas statistik yang menunjukkan berlakunya peningkatan penagih di seluruh negara, khususnya lulusan IPT, Adnan mengaitkannya dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi.

Tidak seperti dulu, dadah dikaitkan dengan harga dan nilai yang tinggi, dadah masa kini lebih mudah diperoleh dan mampu dibeli, mengakibatkan penggunaan dan penyalahgunaannya lebih meluas.

Lebih membimbangkan apabila kini terdapat pula laman-laman web tertentu yang menunjukkan kaedah untuk seseorang itu memproses dadah sendiri dengan mengenakan caj tidak membebankan.

“Dahulu pihak berkuasa banyak merampas dadah jenis heroin dan kokain, tetapi hari ini dadah seperti syabu, ganja, Ketamine dan ecstasy pula banyak dirampas,” katanya.

Menurut Adnan, tanggungjawab membanteras gejala dadah tidak mungkin dapat direalisasikan secara individu, ia perlu mendapat kerjasama semua pihak.

Perkembangan teknologi yang membolehkan dadah dijual secara berleluasa juga tidak patut dijadikan alasan untuk pihak-pihak bertanggungjawab ‘lepas tangan’.

Untuk kempen pertama kali yang berlangsung dengan jayanya dari 5 hingga 29 Julai lalu, IPT ini telah bergabung tenaga dengan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan agensi lain yang berkaitan. Kempen ini juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kempen yang dianjurkan mendedahkan kepada pelajar dan masyarakat tentang bahaya pengambilan dadah berdasarkan fakta, statistik dan angka. Mengundang bekas penagih untuk berkongsi cerita dan pengalaman mereka merupakan satu kaedah berkesan untuk menarik minat pelajar dan orang ramai mengambil tahu tentang dadah dan bahayanya.

“Dengan mendengar sendiri kisah hidup bekas penagih yang berjaya keluar dari ‘dunia hitam’ mereka dulu, ia dapat menimbulkan kesedaran dan ‘membuka minda’ mereka yang menyertai kempen ini,” katanya.

‘Membuka minda’ yang dimaksudkan Adnan ditujukan kepada golongan yang sedang berkira-kira untuk mencuba, yang sedang berada di bawah pengaruh dadah dan mereka yang telah terjebak dengan dadah dan ingin kembali ke pangkal jalan.

Katanya, setiap orang mempunyai risiko terbabit dengan ketagihan dan penyalahgunaan dadah walaupun mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, memandangkan masyarakat khususnya pelajar mempunyai tabiat seperti merokok, minum alkohol dan mengambil pil-pil tertentu bila berdepan dengan tekanan.

“Ramai orang tahu tentang dadah, tetapi mereka tiada kesedaran untuk mencegahnya. Mereka tak tahu ketagih rokok dan arak boleh membawa kepada ketagihan dadah,” katanya.

Jelasnya, perkataan ‘dadah’ yang sudah terlalu biasa didengari masyarakat hari ini memberi definisi yang luas, namun aspek pencegahannya juga luas dan mempunyai pelbagai kaedah serta pendekatan.

Mengetengahkan tema Getting High: It’s A Matter Of Choice, kempen anti-dadah yang pertama kali diadakan secara besar-besaran ini menjurus kepada gaya hidup sihat.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan