Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia Ke Rafah Hari Ini

Diterbitkan: Isnin, 9 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Seramai 67 anggota pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dijangka tiba di Rafah, kawasan sempadan antara Mesir dan wilayah Gaza, petang ini.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi kemanusiaan yang membawa bantuan ubat-ubatan, makanan, selimut, pakaian dan makanan seberat 11 tan itu akan bertolak dari Kedutaan Malaysia di sini pada pukul 4 pagi esok waktu tempatan.

"Kita jangka sampai di sempadan Rafah kira-kira pukul 2 petang menggunakan dua lori, dua bas dan dua kereta dan di sana wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin akan menunggu kita untuk memasuki Gaza," katanya ketika memberikan taklimat kepada kesemua anggota misi itu di Rumah Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini, Ahad.

Hadir sama Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Mesir Shaiful Anuar Mohammad dan Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Datuk Wira Dr Bahari Abu Mansor yang juga penasihat misi kemanusiaan sempena bulan Ramadan itu.

Misi yang mendapat kerjasama penuh daripada PBSM itu turut disertai 35 doktor pakar daripada pelbagai kaum itu bertujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada 2,000 keluarga di lima perkampungan di wilayah tersebut yang masih berada di bawah sekatan rejim Israel.

Sebahagian besar daripada lebih 400,000 penduduk di Gaza bergantung kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk meneruskan kehidupan termasuk golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdaya.

Abdul Azeez berkata misi kemanusiaan itu dicetuskan atas rasa prihatin lebih 27 juta rakyat Malaysia bersandarkan gagasan 1Malaysia untuk memberikan sokongan moral kepada lebih 1.5 juta rakyat Palestin yang kini mengalami krisis kemanusiaan akibat konflik peperangan.

"InsyaAllah dengan kerjasama dan usaha daripada semua pihak termasuk Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Mesir dan Palestin kita akan memasuki Gaza hari ini," kata Abdul Azeez optimis.

Sebelum itu, seramai 39 baki anggota misi itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada pukul 6 pagi tadi waktu Mesir, iaitu lima jam awal dari waktu Malaysia, selepas bertolak dari Kuala Lumpur awal pagi, Sabtu.

Pasukan misi kemanusiaan yang diketuai Abdul Azeez itu juga melawat Hospital Palestin di Kaherah pada sebelah petang dan menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan permainan kepada pesakit-pesakit di situ, kebanyakkannya wanita, warga emas dan kanak-kanak dari Gaza. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan